PETALING JAYA: Penantian selama dua tahun, selain terpaksa berdepan pelbagai rintangan, penyanyi yang mencipta nama selepas menjuarai program realiti, One In A Million (OIAM) musim kedua, Ayu Damit mampu menarik nafas lega dengan kelahiran single terbarunya, Kejam.

Anak kelahiran Putatan, Sabah itu berkata, dia berdepan pelbagai halangan untuk menyiapkan lagu ciptaan komposer muda, Khairul Daniel itu, manakala lirik dihasilkannya sendiri bersama Slen dan Jay.

“Hampir setahun diperuntukkan untuk lagu itu sampai ke tahap ini, namun saya akur dengan ketentuan-Nya. Kita hanya mampu merancang, namun Tuhan yang menentukan segala-galanya,” ujarnya.

Perjalanan seni mahasiswa jurusan Vokal Klasikal di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu bermula pada 2008 selepas menjuarai OIAM 2. Pernah dinobatkan pemenang bagi kategori Vokal Terbaik (Wanita), Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun sama, namun selepas itu namanya seakan-akan pudar. 

“Kerjaya seni saya ada naik dan turun disebabkan beberapa faktor. Mungkin juga rezeki dalam bidang seni seakan tidak menyebelahi sehingga saya membuat keputusan untuk fokus terhadap keluarga dan perniagaan yang diusahakan bersama suami.

“Pada 2020, saya menyertai Gegar Vaganza musim ke-7 dan mendapat tempat ketiga. Sejak itu, saya mula konsisten untuk kembali aktif menyanyi dan mengembangkan semula bakat,” katanya.

Ayu berkata, Kejam terhasil bertitik tolak dari usahanya bersama suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin yang sentiasa mendukungi setiap keputusannya. Malah, mereka sanggup mengeluarkan modal sendiri dan tidak mengharapkan mana-mana tajaan kerana terlalu serik dengan pengalaman lalu.

“Saya bertemu dan berbincang dengan Khairul Daniel dan menyatakan lagu bagaimana yang saya mahukan. Dia faham kehendak serta cita rasa saya dan setelah berbincang, kami terus ke studio bagi memulakan proses rakaman lagu tersebut.

“Bayangkan proses untuk menyiapkan lagu ini bermula dari Februari sehingga Oktober kerana banyak perkara terpaksa saya uruskan sendiri. Saya bertuah mendapat tunjuk ajar komposer yang banyak membantu dari A sehingga Z.

“Saya sengaja memilih genre balada kerana mahu menonjolkan kemampuan vokal dari sisi berbeza dengan sentuhan melodi ala 1990-an, namun tetap kedengaran segar dan baharu,” katanya.

Bagi Ayu, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya dan dia banyak bersabar kerana tidak  mudah untuk kembali ke arena seni suara setelah lama menyepi.

“Saya berharap Kejam dapat diterima semua pendengar dan penggemar muzik. Saya memerlukan sokongan dan insya-Allah, lebih banyak lagi lagu bermutu yang bakal menyusul,” katanya.

The post Serik pengalaman lalu, Ayu Damit keluar modal sendiri hasilkan Kejam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *