PUTRAJAYA: Program Pemukiman anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang berlangsung hari ini bertujuan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi kenyataan hari ini berkata, program bermula pukul 10 pagi tadi itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 27 anggota Jemaah Menteri dan 10 pegawai kanan kerajaan di Kompleks Seri Perdana di sini.

Menurutnya, program dilaksanakan bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan Anggota Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

“Program itu juga selaras hasrat Perdana Menteri yang mahu menterjemahkan agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Ia juga diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek-aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera kerajaan,” katanya.

Katanya, antara aspek yang dibincangkan dalam pemukiman itu termasuk Struktur Kerajaan dan Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pengurusan Kewangan dan Perolehan Kerajaan.

Jelasnya lagi, aspek lain disentuh termasuk Persidangan Antarabangsa dan Kepentingan Negara, Protokol Kerajaan dan Profesionalisme, Pembangunan Lestari, Senario Ekonomi dan Cabaran, serta taklimat berkaitan Komunikasi Media.

Dalam pada itu, katanya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, turut menyampaikan taklimat Pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) anggota Jemaah Menteri semasa sesi permukiman sama yang berakhir 4.30 petang.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid menerusi hantaran di Facebook berkata, program itu bertujuan membincangkan hala tuju Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ia turut membincangkan hala tuju, keberadaan Jemaah Menteri dalam Kerajaaan Perpaduan dan turut berkait rapat dengan penetapan KPI untuk setiap kementerian. – UTUSAN

The post Sesi pemukiman perkukuh kesepakatan, kesepaduan Jemaah Menteri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *