TEMERLOH: Harapan dua beradik bujang warga emas untuk tinggal di kediaman sendiri pada tahun baharu ini tidak kesampaian apabila rumah baharu mereka yang siap dibina empat bulan lalu di Kampung Mambang Berulang, Mentakab di sini berdepan masalah bekalan air.

Dua beradik itu, Jamaliah Kassim, 72, dan adiknya, Saadiah, 70, kini setahun menumpang di balai raya di situ setelah rumah pusaka mereka di pinggir Sungai Semantan di kampung itu dihanyutkan banjir luar biasa pada Disember 2021.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jamaliah berkata, setelah setahun, mereka masih tinggal di balai raya bagaikan musafir di bumi sendiri.

Jelasnya, dia dan adiknya berasa malu dengan situasi itu kerana seolah-olah mereka ‘merampas’ hak ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mengadakan mesyuarat.

“Bagaimanapun, kami berte­rima kasih kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) kerana telah pun membina sebuah rumah bernilai RM65,000 di tapak tanah pusaka kami di kampung ini.

“Rumah tiga bilik tanpa kelengkapan perabot ini sudah pun siap kira-kira empat bulan lalu tapi masalahnya tiada bekalan air. Tanpa bekalan air, ia menghalang hasrat kami untuk berpindah ke rumah sumbangan Muip itu ke­rana kedudukannya agak tinggi,” katanya di sini semalam.

Jamaliah berkata, dia dan adiknya merayu pihak berkenaan menyegerakan kemasukan bekalan air bersih ke rumah itu di samping mana-mana pihak menyumbang perabot dan peralatan elektrik.

“Kami dua beradik semakin uzur atas faktor usia. Saya sendiri sakit lutut manakala adik mudah semput terutama pada keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan menurutnya, selama setahun tinggal di balai raya di situ, dia dan adiknya tidak pernah menonton televisyen dan mendengar siaran radio kerana tidak mampu membeli alat elektronik itu.

Katanya, kehidupan mereka sekadar untuk terus hidup di bumi Allah SWT dengan sumber kewa­ngan RM500 sebulan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh disalurkan akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Jamaliah Kassim 06500-41-00007670-2. –utusan

The post Setahun tinggal di balai raya, rumah baharu tiada bekalan air appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *