KULIM: Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Kedah, Dr. Mohammad Sofee Razak yang juga Setiausaha PKR negeri itu diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai.

Pengumuman itu dilakukan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam majlis memperkenalkan calon di pekarangan Pusat Perniagaan Seraya, di sini malam ini.

Mohammad Sofee, 47, menggantikan calon PH sebelum ini, mendiang M. Karupaiya yang juga penyandang Parlimen Padang Serai yang meninggal dunia pada 16 November lalu.

Beliau yang merupakan seorang peguam pernah menjadi calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Baling pada PRU14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk menangguhkan PRU15 bagi Parlimen Padang Serai kepada 7 Disember susulan kematian Karupaiya.

Proses pencalonan akan berlangsung esok dengan semua calon lain yang telah sah dinamakan pada 5 November lalu juga dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon antara pukul 9 hingga 10 pagi bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.

Lima calon yang disahkan ialah Hamzah Abd. Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional), Mohd. Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas, Sreanandha Rao.

Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili PH menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS, Muhamad Sobri Osman dan calon BN, Datuk Dr. Leong Yong Kong. –UTUSAN

The post Setiausaha PH Kedah calon PRU15 Padang Serai appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *