SHARJAH: Pelakon, Datuk Shah Rukh Khan dianugerahkan Ikon Global Pawagam dan Naratif Budaya atas sumbangan besar dalam bidang perfileman ketika menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Sharjah (SIBF) 2022, di Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Acara itu dihadiri sebilangan besar peminat yang sempat merakam video dan gambar pelakon filem Kabhi Kushi Kabhi Gham itu sehingga tersebar dalam media sosial.

Beliau menerima anugerah atas sumbangan besar di persada budaya, penulisan dan kreativiti.

“Kita semua tidak kira di mana lokasi kita tinggal, apa warna kulit, agama apa yang dianuti atau lagu apa yang kita menari, berkembang maju dalam budaya cinta, kedamaian dan belas kasihan,” kata pelakon Kuch Kuch Hota Hai semasa menyampaikan ucapan.

Menerusi video yang dikongsikan kelab peminat, Shah Rukh Khan dilihat muncul dalam acara tersebut mengenakan pakaian serba hitam dengan gaya rambut disikat rapi ke belakang.

Dalam perkembangan lain, 2023 bakal menjadi tahun penting buat pelakon tersebut kerana bakal muncul dengan tiga filem di pawagam.

Selepas empat tahun tidak muncul di layar perak, pelakon berusia 57 tahun itu bakal menggegarkan panggung dengan filem Pathaan, Jawan dan Dunki.

Ketika majlis anugerah SIBF, beliau turut ditanya sekiranya berdebar dengan kemunculan filem baharu tersebut.

“Saya tidak rasa perlu gementar sebab semuanya adalah filem yang sangat bagus.

“Bangun sahaja dari tidur setiap hari, saya akan bekerja 18 jam sehari dan buat aksi lagak ngeri.

“Jika saya tidak percaya dengan kebolehan menghasilkan produk yang disukai ramai, sudah tentu filem yang bagus tidak dapat diterbitkan,” katanya. -AGENSI

The post Shah Rukh Khan terima anugerah Ikon Global di UAE appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *