ARAU: Datuk Seri Shahidan Kassim mahu memastikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pada masa sama, Shahidan  akan ke Bintong dalam tempoh terdekat untuk berkempen bagi memastikan Azlan tewas di situ.

SHAHIDAN KASSIM

Kata calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau itu, selain memastikan kemenangan di Parlimen Arau, fokus memastikan kekalahan Azlan dalam usaha memenangkan PN juga menjadi keutamaan.

“Matlamat kita adalah untuk jatuhkan Menteri Besar dengan dahsyatnya kerana  dia melanggar keputusan UMNO Bahagian berhubung isu pemilihan calon. Saya akan pergi ke Bintong untuk berkempen dan menceritakan keadaan yang sebenarnya.

“Bahagian Arau dengan terang mencadangkan lima nama sebagai calon Parlimen dan DUN Arau namun calon-calon yang dihantar itu tidak terpilih,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Azlan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri  menyifatkan Shahidan sebagai pengkhianat kerana memilih meninggalkan parti dan bersama-sama PN.

Azlan menegaskan, pada PRU14, Shahidan pernah meminta pemimpin BN yang tidak tersenarai sebagai calon untuk reda dengan keputusan parti namun kini beliau dilihat bertindak sebaliknya dan cuba untuk melawan kehendak takdir.

AZLAN MAN

Pada masa sama, Azlan mempersoal sama ada Shahidan ikhlas berjuang untuk parti dengan menggunakan wadah UMNO dan BN selama ini atau hanya sekadar demi kepentingan diri sendiri semata-mata.

Sejak kebelakangan ini, Shahidan secara lantang sering mengkritik kepimpinan Azlan dan turut menyifatkan Menteri Besar itu mengamalkan sikap ‘warlord’ untuk menjatuhkannya, selain menggangu sistem politik di negeri ini.

Bagaimanapun Azlan menafikan dakwaan Shahidan itu dan menegaskan beliau tidak sama sekali pernah cuba mempengaruhi sesuatu keputusan khususnya yang ditetapkan kepimpinan parti.

“Kalau nak label saya ‘warlord’ tak tepat langsung kerana saya tak pernah dilihat sebagai seseorang yang cuba mempengaruhi sesuatu. Pengundi tahu siapa ‘warlord’ dan siapa Shahidan Kassim. Sekarang orang dah nampak siapa sebenarnya beliau,” kata Azlan. – UTUSAN

 

The post Shahidan kempen di Bintong, pastikan MB Perlis kalah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *