MELAKA: Gara-gara tewas dengan majoriti tipis 890 undi di tangan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam perebutan kerusi Parlimen Alor Gajah, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan hari ini melepaskan jawatan Ketua Penerangan UMNO yang turut disandangnya.

Dalam masa sama, Shahril turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menuntut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Ahmad Zahid perlu berbuat demikian bagi memberi laluan kepada kepemimpinan dan individu lain memimpin perbincangan serta membuat keputusan besar seterusnya untuk parti.

“Benar, ada konsep collective responsibility dalam sesuatu kegagalan. Benar, UMNO perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 di PRU15.

“Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja. Tetapi, sebelum parti hendak bincang atau buat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu.

“Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor, iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu, Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini, berundur secara terhormat.

“Atas semangat collective responsibility itu, saya juga meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO. Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya hari ini.

BN tewas semua kerusi Parlimen di Melaka termasuk kerusi yang dimenanginya pada PRU14 iaitu Jasin dan Masjid Tanah.

Di Parlimen Alor Gajah, Adly berjaya merampas kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 890 undi.

Beliau memperoleh 28,178 undi berbanding Shahril mendapat 27,288 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof sekadar memperoleh 17,211 undi. – UTUSAN

The post Shahril Hamdan letak jawatan, minta Presiden undur appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *