KLUANG: Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil lebih layak menjadi penasihat atau penaung bagi pergerakan yang pernah diterajuinya pada tahun 2009 hingga 2018.

Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, pergerakan itu secara dasarnya menyanjungi keprihatinan Shahrizat namun bukan dengan cara bertanding untuk merebut jawatan Ketua Wanita UMNO yang kini disandang Datuk Seri Noraini Ahmad.

“Kita sanjung keprihatinan Tan Sri Shahrizat, tetapi bukan dengan cara bertanding semula dalam parti yang tentunya hanya akan mencemarkan kredibiliti beliau sebagai tokoh wanita disegani. 

“Saya akui beliau mempunyai pengaruh yang luas dan mampu mengubah landskap politik dalam Wanita UMNO, namun sebagai tokoh terbilang amat wajar sekiranya Tan Sri Shahrizat menjadi penasihat atau penaung parti bagi mengelak perpecahan,” katanya.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata, Shahrizat boleh bersama-sama memartabatkan wanita dan memberikan teladan kepada golongan pelapis supaya Wanita UMNO menjadi lebih ampuh serta tidak berpecah menerusi pertandingan. 

Menurutnya, era pentadbiran Noraini sebagai Ketua Wanita UMNO amat berbeza berbanding ketika Shahrizat menerajui pergerakan itu kerana Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang,

“Beliau mengemudi jentera Wanita UMNO dalam semangat juang mendepani pelbagai cabaran termasuk pilihan raya kecil, malah kemudiannya, beliau korbankan jawatan menteri semata-mata untuk memperjuangkan hak UMNO dan bukan kepentingan peribadinya,” katanya.

Pada 3 Februari lalu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah dilaporkan menyatakan ada 147 Bahagian Wanita menyokong Shahrizat sebagai Ketua Wanita UMNO. – UTUSAN

The post Shahrizat lebih layak jadi penasihat, penaung appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *