ALOR SETAR: Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam pemilihan parti itu kali ini.
Selain itu Shaiful Hazizy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok turut menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai Ketua UMNO bahagian itu demi meneruskan khidmat dan bakti kepada parti.
“Dengan iltizam yang tinggi, kali ini saya memilih untuk tidak berada dalam zon selesa, tetapi memilih jalan berliku dengan menyertai Pemilihan UMNO 2023 di peringkat MT dan peringkat UMNO Bahagian. InsyaAllah, saya akan terus tawakal, berusaha dan berdoa agar diberikan petunjuk dan panduan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, keinginan untuk bertanding dalam kedua-dua jawatan tersebut berteraskan tekad bagi mengembalikan semula kepercayaan akar umbi kepada parti.
“Saya percaya parti yang kita cintai ini perlu menghayati keperluan demi ‘Bina Semula UMNO’ dengan perlu ada perubahan dalam mengubah pendekatan dan gerak kerja parti dalam mendepani situasi politik di peringkat bahagian, negeri serta negara pada masa akan datang.
“Dengan penuh keinsafan dan rendah diri, ingin saya tegaskan bahawa diri ini tidak sempurna, diri ini bakal diuji, dan diri ini bakal menerima pengharapan menggunung, namun Allah jua segalanya,” ujarnya.
Pemilihan parti itu bermula 1 Februari lepas membabitkan mesyuarat serta pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, pemuda, wanita dan puteri sehingga 26 Februari ini sementara mesyuarat perwakilan dan pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Ahli MT akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.
UMNO menangguh pemilihan buat pertama kali dalam sejarah parti itu yang sepatutnya diadakan pada 2021 sehingga 18 bulan yang berakhir Disember tahun lepas. –UTUSAN
The post Shaiful Hazizy tawar diri bertanding MT UMNO appeared first on Utusan Malaysia.