MUKADIMAH

PANTUNNYA sering mengundang tawa siapa sahaja yang mendengarnya kerana penuh dengan gurauan dan sindiran.

Datuk Seri Ahmad Maslan bukan sahaja sudah dikenali di negara ini, malah kehadirannya sering menjadi tumpuan orang ramai.

Panggil sahaja namanya, pasti Setiausaha Agung UMNO ini tidak lokek dengan senyuman dan sapaannya.

Wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Zikri menemu bual beliau walaupun sibuk berkempen bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pontian yang diwakilinya sejak tiga penggal lalu.

UTUSAN: Bagaimana penerimaan pengundi khususnya di Parlimen Pontian menjelang hari pengundian Sabtu ini?

Saya hanya memperoleh kemenangan majoriti 833 undi pada PRU14, namun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, BN menang majortiti 15,086 undi menerusi calonnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng manakala pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kedua-dua Dewan Undangan Negeri(DUN) Pekan Nanas dan Pulai Sebatang yang sebelum ini kalah kepada lawan telah dimenangi oleh BN.
Pekan Nanas yang diwakili oleh Tan Eng Meng memperoleh 11,024 menewaskan penyandangnya, Yeo Tung Siong daripada Pakatan Harapan (PH) dan bagi DUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan mendapat 12,473 undi menewaskan Suhaizan Kayat daripada PH serta calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dengan momentum yang baik ketika PRN Johor menerusi kerusi DUN Pulai Sebatang selain DUN Benut, saya yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan Parlimen Pontian termasuk pengundi 18 tahun dan pengundi baharu.

Ketika PRU14, hanya Parlimen Pontian yang dimenangi oleh BN, manakala jiran-jiran berhampiran seperti Parlimen Tanjung Piai, Kulai, Batu Pahat dan Simpang Renggam jatuh kepada pembangkang.

Yang masih berdiri kukuh adalah Parlimen Pontian dan selepas kalah tanpa sebarang jawatan, saya tidak meninggalkan Pontian dan terus mengadakan program pada tiap-tiap minggu.

Saya berpegang dengan falsafah, SMPPSS (Siang Malam, Pagi Petang, Subuh Senja) berkhidmat kepada rakyat.

Adakah PRN Johor boleh diterjemahkan kepada PRU15 ?

Keputusan tersebut memberikan semangat yang amat tinggi kerana daripada 19 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14, BN berjaya menawan 21 kerusi pada pilihan raya tersebut. Ia bukan sesuatu perkara yang kecil kerana berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.

Saya berharap semangat PRN Johor dapat dibawa kepada PRU15, dengan BN berjaya menawan kerusi-kerusi Parlimen yang kalah pada PRU14 lalu bagi membantu pencapaian 20 kerusi Parlimen.

 

Sekiranya menang PRU15, apa yang Datuk Seri akan laksana?

Saya akan teruskan tradisi SMPPSS dan saya akan meningkatkan lagi beberapa perkara yang belum menjadi kenyataan seperti pembangunan Hospital Pontian, memperbaiki jajaran Jalan Pontian ke Tampok, pembinaan Kolej Komuniti di Benut, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), pembinaan balai bomba tetap di Benut, pembangunan semula Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pulai Sebatang.

Selain itu, saya akan meminta Majlis Agama Islam Johor (MAIJ ) dapat membangunkan sebidang tanah seluas 0.36 hektar di Jalan Parit Masjid dengan pembangunan seperti Pusat Rawatan Islam dan Masjid Kedua Daerah Pontian.

Di samping itu, kawasan tapak lama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dicadang untuk dibangunkan dengan Bangunan Guna Sama Persekutuan yang menempatkan pelbagai jabatan dan agensi Persekutuan bagi faedah dan manfaat penduduk Pontian.

Saya akan memastikan pekan-pekan kecil yang terdapat di Parlimen Pontian seperti Pekan Parit Betak, Pekan Kayu Ara Pasong, Pekan Ayer Baloi dan Pekan Sanglang perlu ‘menjadi sebuah pekan yang lebih lengkap dengan pelbagai aktiviti perniagaan selain ‘wajahnya’ akan disolek menjadi lebih menarik.

Pekan-pekan kecil tersebut perlu diberikan nafas baharu dengan pencahayaan pada waktu malam seperti di Jalan Parit Masjid sebagai sebuah pusat kegiataan ekonomi yang meriah pada malam hari.

Kita juga inginkan supaya Pusat Perdagangan Pontian atau dikenali sebagai Bandar Baru Pontian menjadi lebih dikenali sebagai Pusat Memancing Antarbangsa dengan pelbagai tarikan kepada penggemar aktiviti tersebut.

 

Apakah pembangunan yang telah dilakukan sepanjang tempoh 15 tahun ini ?

Setiap kampung sekurang-kurangnya memperoleh satu projek pembangunan daripada saya sebagai ahli Parlimen seperti masjid dan surau baharu, Dewan Serbaguna, Sekolah Agama, Gelanggang Permainan (futsal dan badminton) dan pusat-pusat perniagaan (Gerai Rakyat 1Malaysia).

Selain pembangunan fizikal, saya juga menganjurkan pelbagai pertandingan seperti Anugerah Desa Cemerlang (ADC), Anugerah Belia Cemerlang (ABC), Anugerah Masjid dan Surau Cemerlang, Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) dan Anugerah Usahawan Cemerlang (AUC) yang tidak dilakukan di mana-mana kawasan Parlimen di Malaysia.

Hasil daripada itu, dua buah kampung, iaitu Kampung Permatang Duku dan Kampung Puteri Menangis telah berjaya mendapat kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan, sekali gus melonjakkan nama Pontian di persada nasional.

Dalam bidang pendidikan saya sentiasa membantu kemenjadian pelajar sepertimana kejayaan yang diraih oleh Kolej Tingkatan 6 Pontian, Sekolah Menengah Agama (SMA) An- Nur dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

Apakah langkah yang akan diambil bagi membantu golongan muda ?

Saya akan memastikan projek perumahan mampu milik di Taman Megah dapat dilaksanakan segera kerana majlis pecah tanah telah pun dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Selain itu, saya telah membawa sebuah universiti (Open University Malaysia) di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak bagi membolehkan golongan muda menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pengajian di universiti menawarkan peluang pengajian kepada mereka yang bekerja sekurang-kurangnya lima tahun ditambah dengan pengalaman bagi memperoleh Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Di samping itu, saya juga akan mengusahakan supaya dibina lebih banyak projek rumah mampu milik di lokasi kepadatan penduduk seperti di Benut, Ayer Baloi dan Bandar Pontian. – UTUSAN

 

Biodata
Nama: Ahmad Maslan
Umur : 56 tahun
Jawatan : Setiausaha Agung UMNO
Akademik: Ijazah dalam Bidang Ekonomi dan Sains Politik daripada Rosehill College, Auckland, New Zealand, Victoria University Of Wellington, New Zealand

Penyandang kerusi Parlimen Pontian selama tiga penggal (2008, 2013 dan 2018)

Pengundi berdaftar : 75,126
Melayu : 70 peratus
Cina : 28 Peratus
India : 1 peratus
Lain-Lain : 1 peratus

The post Siang malam kerja untuk rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *