PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais bersedia melepaskan jawatannya kepada individu atau syarikat yang berminat untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Tambah Posa yang juga Pengerusi Sarawak United FC (SUFC) menyeru individu berkelayakan tampil berbincang seterusnya mengambil alih tugas berat itu demi bola sepak ‘Bumi Kenyalang’.

Begitupun, Posa memberi peringatan bahawa tugas memegang jawatan terbabit cukup ‘berat’ apabila perlu menguruskan lima pasukan utama yang beraksi di saingan kompetitif.

“Saya sangat mengalu-alukan individu yang berminat dan berhasrat mengalas tanggungjawab sebagai Presiden FAS merangkap Pengerusi SUFC untuk datang ke pejabat dan berjumpa dengan pihak pengurusan tertinggi bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini.

“Untuk makluman dan pengetahuan, FAS dan SUFC memerlukan perbelanjaan yang besar dalam setahun untuk lima pasukan utama, senior team-liga super, pasukan bawah 23, pasukan bawah 20 pasukan bawah 18, futsal lelaki dan futsal wanita,” katanya.

Selain itu, berhubung perlesenan kelab yang dilihat tidak menyebelahi pasukan itu, Posa berkata, beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan kesemua urusan tadbir berjalan lancar.

“Pihak SUFC dengan rendah diri akan akur dengan keputusan jawatankuasa rayuan sekiranya terpaksa bermain di liga divisyen kedua.

“Turun naik sesebuah pasukan tidak mustahil menjadi pemangkin semangat kami untuk kembali ke kancah liga super 2024 Insya Allah.

“Terima kasih kepada semua peminat yang sangat mengambil berat tentang keberadaan situasi FAS dan SUFC selama ini,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus terlepas slot untuk beraksi di Liga Super, tahun depan.

Dua pasukan itu gagal dalam memenuhi tuntutan dikemukakan sebelum ini, sekali gus menyaksikan badan ‘First Instance Body (FIB) terpaksa menolak rayuan dua pasukan tersebut. – UTUSAN

 

The post Siapa layak jadi Presiden FAS sila tampil – Posa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *