PUTRAJAYA: Wujud kekeliruan dalam masyarakat mengenai siapa yang layak untuk memandikan jenazah khunsa musykil.

Malah, pengetahuan mengenai mengurus mayat khunsa ini   kadang-kadang sukar hendak difahamkan dan ianya penting dipelajari.

Mengupas isu itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menjelaskan jenazah khunsa musykil boleh dimandikan oleh ahli keluarganya sama ada lelaki mahupun wanita.

Menurutnya, jika tiada mahram di sisi jenazah, maka lelaki dan wanita ajnabi layak memandikan jenazah tersebut tidak kira jenazah kanak-kanak mahupun dewasa.

“Menurut mazhab Syafi’i, jika jenazah tiada mahram maka, lelaki dan wanita ajnabi layak memandikan disebabkan keperluan dan darurat,” katanya menerusi artikel terbaharu di laman web PMWP, hari ini.

Katanya, khunsa musykil ialah individu yang tidak jelas kecenderungan tanda-tanda jantina lelaki mahupun wanita dan tidak diketahui lelaki ataupun wanita.

Jelasnya lagi, khunsa musykil dikategorikan dua jenis iaitu individu yang mempunyai dua alat kelamin dan sama tanda-tanda alat kelamin jantina lelaki dan wanita.

Manakala, jenis kedua pula ialah individu yang tidak mempunyai alat kelamin lelaki mahupun wanita tapi mempunyai lubang untuk kencing. – UTUSAN

The post Siapa layak mandikan khunsa musykil? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *