PETALING JAYA: Timbalan Ketua Peguam Parti Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali membidas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan tanpa segan silu menuding jari terhadap Tun. Dr. Mahathir Mohamad sebagai dalang utama Langkah Sheraton. 

Bagaimanapun, katanya, semua pihak mesti berfikiran logik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini kerana ramai pemimpin yang akan mengeluarkan kenyataan untuk terus kekal relevan dengan menyalahkan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu. 

Katanya, ini kerana dengan berfikir logik sahaja masyarakat dapat memahami dan menafikan tohmahan bahawa Dr. Mahathir merupakan perancang langkah itu sehingga membawa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

“Segalanya bermula pada hampir penghujung tahun kedua PH memerintah. Ya, pelbagai serangan kononnya Tun Mahathir makin lemah dikuasai oleh menteri-menteri dari DAP. Nasib Melayu makin diabaikan.Tentera unggu mula berkumpul di Padang Merbok. Rusuhan Kuil di One City. Kekalahan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih dan Tanjung Piai. 

“Tetapi jangan dilupakan juga politik dalaman PKR. Seorang itu mahu jadi Perdana Menteri, manakala seorang lagi menghalang. Di tengah-tengah kemelut dalaman PKR itu, diselit pula dengan segerembolan menteri-menteri yang lebih menumpukan usaha untuk Perdana Menteri baharu daripada memikir masalah rakyat.

“Malah, pada masa yang sama, yang kalah pada PRU-14 pula mula secara senyap menghendap peluang. Manakan tidak, kerajaan PH mula mengota janji akan membawa kleptokrat dan rakan-rakan serta sahabat taulannya ke muka pengadilan. Sesuatu perlu dilakukan, peluang mesti dihidangkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi. 

Jelas Muhammad Rafique, isu itu timbul dalam satu mesyuarat Biro Politik Parti Bersatu pada 21 Februari 2022 apabila Muhyiddin memaklumkan pada Dr. Mahathir bahawa akan ada desakan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Malah, katanya, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali difahamkan akan keluar dari mesyuarat Majlis Presiden PH tersebut sekiranya desakan itu berlaku. 

“Setelah hampir tiga jam, Mesyuarat PH memutuskan akan serah sepenuhnya pada Tun Mahathir untuk mandat peralihan kuasa Perdana Menteri. ‘No time limit, no nothing’ tegas Tun Mahathir.Kalau tidak percaya, sila layari mana-mana portal berita dan pasti akan didapati sidang media dimana Muhyiddin dan Anwar juga hadir. Adakah Tun Mahathir khianat? 

“Kemudian kita ke Ahad, 23 Februari 2020 dimana Tun Mahathir hadir ke Mesyuarat Tergempar Bersatu di bangunan Yayasan Selangor. Dalam mesyuarat itu, Tun Mahathir lagi sekali menjelaskan keutuhan persefahaman Mesyuarat PH tempoh hari dan merayu supaya Bersatu tidak mungkir janji dan langgar prinsip. Disini, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mula menggesa Bersatu untuk keluar dari PH. 

“Pada masa yang sama tidak jauh dari Yayasan Selangor, Petaling Jaya iaitu di Hotel Sheraton, pasukan kartel diketuai Azmin dikatakan bersiap sedia untuk arahan lanjut. Tetapi, bukankah ini pelik dan tidak logik apabila Mesyuarat PH yang mana wakil PKR juga didalamnya sebulat suara sokong Tun Mahathir? Yang lebih pelik di Janda Baik, ahli-ahli Parlimen UMNO dan Pas bermesyuarat manakala ahli-ahli Gabungan Parti Sarawak pula bermesyuarat di Kuala Lumpur. 

“Pada pukul 4 petang hari sama, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas), Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg ( GPS) Azmin (PKR) dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Parti Warisan) bertemu Tun Mahathir di kediamannya di The Mines. 

“Mereka mempersembahkan senarai ahli-ahli Parlimen yang menyokong Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri tetapi mengetuai kerajaan baharu. Namun, ditolak Tun Mahathir kerana mandat rakyat pada PRU-14 tolak UMNO atau Barisan Nasional (BN). Adakah Tun Mahathir khianat?,” ujarnya. 

Jelas beliau, selang beberapa jam dari itu, ahli-ahli Parlimen UMNO, Pas, GPS bersama Muhyiddin dan kartel Azmin makan malam di Hotel Sheraton dengan semua dikatakan menanti kehadiran Tun Mahathir.

Namun, katanya, penantian mereka sia-sia apabila Tun Mahathir tidak akan hadir kerana merasakan rakyat tidak boleh ditipu.

“Kalau tidak percaya saya syor Muhyiddin bertanya pada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Seri Rina Mohd. Harun. Adakah Tun Mahathir khianat? 

“Pada tarikh 24 Februari 2022 pukul 10.00 pagi, Tun Mahathir melakukan sesuatu yang paling berprinsip iaitu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Dilepaskan juga jawatan sebagai Pengerusi Bersatu kerana akibat Langkah Sheraton dan perlakuan Bersatu pimpinan Muhyiddin dan kartel Azmin sudah menyebabkan PH hilang majoriti. 

“Tinggal 108 sahaja ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri. Dari segi Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri sekiranya hilang sokongan majoriti hendaklah meletak jawatan Kabinet dan dirinya,” katanya. 

Mengulas lanjut, Muhammad Rafique berkata, Muhyiddin dalam masa sama mengeluarkan kenyataan media sebagai Presiden Parti Bersatu menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu telah pada 23 Februari 2020 membuat keputusan keluar dari PH.

“Kalau tidak percaya boleh sahaja bertanya dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng. Mereka semua hadir pada pukul 10.30 pagi tarikh yang sama 24 Februari 2020 dan setelah berjumpa dengan Tun Mahathir menyatakan mereka faham sebab peletakan jawatan dan penjelasan yang diberikan. Adakah Tun Mahathir khianat?

“Pada pukul 4.30 petang, tarikh sama 24 Februari 2020, Anwar mengeluarkan kenyataan bahawa Tun Mahathir tidak bersalah, malah tidak khianat serta menyatakan mahu Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri. Adakah Tun Mahathir khianat? 

“Apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Interim, maka, Tun Mahathir mula mencari penyelesaian kepada politik Malaysia dengan mencadangkan satu kerajaan campuran. Sifirnya mudah, rakyat dan negara mesti ditadbir. Covid-19 mula menular. Politik dan rebut meragut jawatan Perdana Menteri mesti diketepikan.

“Pada Tun Mahathir, oleh kerana PH sebulat suara menyokong ditambah dengan ahli-ahli parlimen UMNO, GPS, Bersatu dan Pas, maka sudah tentulah sebuah kerajaan campuran dapat diwujudkan demi rakyat dan kesejahteraan seluruh negara,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, manusia tidak kira Melayu atau bukan Melayu mudah lupa apabila bertukar sokongan di Istana Negara meskipun baharu sahaja beberapa hari menyatakan sokongan sebelum itu. 

“Ada yang sehingga naik bas tiada bumbung, hop on hop off, bersorak Anwar Perdana Menteri Kelapan. Muhyiddin pula sanggup terima sokongan individu-individu yang kebanyakannya telah ditolak rakyat ketika PRU-14. Adakah Tun Mahathir khianat? 

“Akhirnya sejarah melakar, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan pada pukul 10.30 pagi 1 Mac 2020. Tetapi bagaimana Muhyiddin mengangkat sumpah Perdana Menteri tersebut sedangkan jelas 114 Akuan Bersumpah dari ahli-ahli Parlimen menyokong Tun Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri? 

“Kalau tidak percaya, sila layari Youtube sidang media Tun Mahathir pada 1 Mac 2020 tepat pukul 9.10 pagi. Adakah Tun Mahathir khianat?. Maka, soalan saya mudah, siapa pengkhianat atau siapa pengkhianat?,” soalnya. –UTUSAN

The post Siapa pengkhianat? Peguam Pejuang jawab Muhyiddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *