SINGAPURA: Singapura mengeluarkan amaran keras dan memendekkan permit penerbitan majalah Vogue Singapore kerana menyiarkan kandungan foto bogel serta mempromosikan ‘keluarga bukan tradisional’.

Kementerian Komunikasi dan Maklumat (MCI) berkata, pihaknya mengeluarkan amaran keras terhadap edisi tempatan Vogue serta memendekkan permit penerbitan majalah fesyen itu.

“Mereka melanggar Garis Panduan Kandungan untuk Majalah Gaya Hidup Tempatan sebanyak empat kali dalam tempoh dua tahun lalu termasuk kandungan bogel dan mempromosikan keluarga bukan tradisional.

“Permit setahun Vogue Singapore juga dibatalkan berkuat kuasa Khamis lalu.

“Vogue Singapore memohon semula dan MCI mengeluarkan (mereka) permit enam bulan,” kata kementerian itu.

Menurut MCI, kali terakhir permit penerbitan dipendekkan adalah pada 2014, apabila majalah seni tempatan melanggar garis panduan untuk kandungan tidak sensitif serta menghina agama.

Sebelum ini, majalah wanita, Cleo dan majalah lelaki, FHM juga dikenakan tindakan sama kerana kandungan mengenai seks, bogel, pergaulan bebas dan gaya hidup permisif masing-masing pada 2008 dan 1998.

Tindakan kerajaan terhadap Vogue Singapore dibuat selepas majalah itu menerbitkan artikel dalam beberapa bulan kebelakangan ini mengenai topik lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), gambar wanita separuh bogel dan wawancara dengan aktivis terkemuka Singapura.

Ogos lalu, kerajaan Singapura mengumumkan rancangan tidak menganggap seks sejenis sebagai jenayah.

Tetapi Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga berikrar untuk menjaga institusi perkahwinan yang ditakrifkan sebagai antara seorang lelaki dan seorang wanita hingga mencetuskan kebimbangan aktivis tentang halangan tambahan kepada kesaksamaan perkahwinan sepenuhnya. – AFP

The post Siar kandungan bogel, permit majalah Vogue Singapore dipendekkan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *