MUAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia disiasat oleh mana-mana pihak berhubung dakwaan kemungkinan terdapat unsur penyelewengan sehingga kerajaan ketika itu membelanjakan RM500 bilion sewaktu pandemik Covid-19.

Menurutnya, pihak yang ragu-ragu dengan perkara terbabit boleh menjalankan siasatan segera tanpa perlu menunggu sehingga menjadi barisan kerajaan.

“Kalau dilihat kepada keseluruhan perbelanjaan memanglah besar, tetapi semua itu dibuat mengikut peraturan. Tak payah siasat sekarang atau tunggu hingga selesai Pilihan Raya Umum (PRU), kalau betul nak siasat, sekarang ini pun boleh buat.

“Saya tak rasa takut atau bimbang kerana semuanya diurus mengikut dasar-dasar perolehan, cara perbelanjaan di bawah kontrak kewangan. Kita ikut sistem. Yang penting Adly Zahari (Pengerusi PH Melaka) kalau ada bukti beritahu,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian selepas merasmikan Program Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Dewan Masyarakat Cina, Bukit Pasir, di sini hari ini.

Menurut penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu, kenyataan tanpa bukti yang sering dikeluarkan Pakatan Harapan (PH) sememangnya tidak berasas bertujuan untuk mengelirukan rakyat demi meraih sokongan kepada parti itu.

“Mereka hanya nak ambil kesempatan ketika berkempen sebab mereka tahu kita sudah nampak sokongan. Jadi, dia cari jalan nak memburuk-burukkan, menyebarkan fitnah tak berasas. Benda sudah lama dua tahun, kalau nak lapor daripada awal lagi dapatkan bukti, pergi SPRM, buat laporan polis, itu caranya.

“Bukan serkap jarang begini nak timbulkan keraguan. Niatnya apa? Niatnya jahat dan saya tak pernah takut sebab saya tahu pengurusan saya sejak berzaman tadbir kerajaan, tak ada satu kes pun (seleweng). Wallahi, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat dan dibuat mengikut peraturan kewangan sedia ada,” katanya.

Semalam, PH akan menjalankan siasatan terperinci terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana didakwa membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, parti gabungan itu akan berbuat demikian sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada PRU15. – UTUSAN

The post Siasat sekarang, tak perlu tunggu selepas PRU – Muhyiddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *