KUALA TERENGGANU: Projek pembinaan Bangunan Kompleks Pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini yang lewat enam tahun untuk disiapkan telah menyebabkan pertambahan kos sebanyak RM49.6 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr. Alias Razak berkata, kompleks itu yang mula dibina pada 2013 sepatutnya siap pada 2016.

“Tempoh siap asal projek adalah 18 September 2016, namun projek ini tertangguh lama dan telah diberi tambahan masa sebanyak tujuh kali atas beberapa faktor iaitu seperti perubahan reka bentuk, pelan susur atur dalaman serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kos asal projek adalah RM141.49 juta namun berlaku pertambahan kos sebanyak RM49.6 juta menyebabkan kos keseluruhan bagi projek ini adalah sebanyak RM198.86 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hilmi Harun (Pas-Manir) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Tambahnya, tarikh siap projek adalah pada 4 Julai lalu dan pihak MBKT akan dapat menduduki bangunan tersebut sejurus selepas mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang dikeluarkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia.

“Ketika ini, perpindahan mengikut jabatan-jabatan sedang dilaksanakan secara berperingkat dan MBKT dijangka beroperasi sepenuhnya di bangunan baharu pada awal 2023,” katanya. – UTUSAN

The post [SIDANG DUN] Bangunan Kompleks Pentadbiran MBKT lewat enam tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *