KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini membentangkan Bajet 2023 dengan defisit sebanyak RM165.31 juta.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak RM74.81 juta berbanding Belanjawan 2022 yang mencatatkan defisit RM90.49 juta.

Menurutnya, walaupun belanjawan negeri mencatatkan defisit pada setiap tahun, namun untuk tempoh lima tahun berturut-turut perbelanjaan kerajaan negeri sebenarnya mencatatkan surplus.

“Prestasi kewangan kerajaan negeri bagi tahun 2022 juga dijangka kekal cemerlang dan berdaya tahan. 

“Di bawah Teras Kewangan Teguh Lestari, selain mempelbagaikan punca hasil baharu dan meningkatkan penguatkuasaan, kerajaan negeri bertekad untuk terus mempelbagaikan punca ‘recurring income’,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu memberitahu, kerajaan negeri turut bertekad untuk menstrukturkan semula unit-unit pengurusan serta unit perniagaan untuk lebih berdaya saing serta menguntungkan.

Katanya, Kelantan Maju Rakyat Sejahtera yang menjadi tema Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM1.62 bilion bagi membangunkan ekonomi negeri secara inklusif meliputi segenap lapisan rakyat.

“Kerajaan negeri menetapkan enam teras utama yang diyakini akan menjadikan Belanjawan 2023 sebuah belanjawan realistik, peka kepada persekitaran ekonomi semasa, mewujudkan lebih banyak inisiatif kepada rakyat dan melindungi golongan terkesan.

“Kerajaan negeri mencadangkan belanjawan ini menyediakan peruntukan berjumlah RM1.15 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala sejumlah RM474.61 juta diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kadar per kapita negeri ini pada tahun 2021 mencatat peningkatan berjumlah RM14,643 berbanding RM14,069 pada tahun 2020, iaitu empat peratus peningkatan.

“Prestasi ekonomi negeri mencatat pertumbuhan positif dan lebih baik pada tahun 2021. Nilai dan kadar pertumbuhan KDNK pada tahun tersebut adalah pada RM25.8 bilion meningkat 2.4 peratus berbanding negatif 1.2 peratus pada tahun 2020 pada nilai RM25.2 bilion.

“Pada tahun 2022 dan 2023, KDNK Kelantan dijangka terus mengukuh dan turut berkembang secara positif selari dengan unjuran perkembangan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

The post [SIDANG DUN] Kelantan bentang belanjawan defisit appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *