IPOH: Perak mempunyai 986,862.44 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) atau 47 peratus daripada keluasan tanah negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, seluas 944,451.81 hektar diwartakan sebagai hutan darat manakala 42,410.63 hektar atau 4.3 peratus adalah hutan paya laut atau hutan bakau.

“Sehingga September lalu, keluasan HSK adalah konsisten sebanyak 47 peratus sejak tahun 2010 manakala keluasan HSK jenis paya bakau meningkat daripada 4.1 peratus (2010) kepada 4.3 peratus (2022).

“Peningkatan ini merupakan iltizam kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 50 peratus daripada keluasan tanah kerajaan negeri adalah HSK,” katanya ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (DAP-Pantai Remis) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut Saarani, punca yang mempengaruhi perubahan keluasan dan peratusan kawasan hutan dan paya bakau itu adalah disebabkan berlaku pemansuhan dan pengisytiharan HSK di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

Jelas beliau, pemansuhan dan pengisytiharan itu untuk tujuan penempatan, pertanian, perlombongan, perindustrian dan lain-lain.

“Bagaimanapun, Jabatan Perhutanan bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sedang berusaha untuk mewartakan tanah kerajaan yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri sebagai HSK seluas 5,472.65 hektar,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri boleh memansuhkan status HSK di kawasan tertentu bagi tujuan perlombongan sekiranya terdapat sumber mineral bernilai yang mampu menjana pendapatan kepada negeri.

Bagaimanapun katanya, penyahwartaan HSK itu perlu diganti semula dengan hutan lain membabitkan keluasan yang sama.

“Memang polisi kerajaan Persekutuan menetapkan bahawa tidak boleh ada perlombongan di kawasan HSK tetapi jika kerajaan negeri berpendapat ada sumber yang besar dan memberi sumbangan pendapatan, jika ia berbaloi maka kerajaan negeri boleh memansuhkan HSK itu tetapi perlu diganti.

“Ini bermakna, luas kawasan HSK ini akan dikekalkan dengan cara gantian dengan tanah lain,” katanya. – UTUSAN

 

The post Sidang DUN: Keluasan hutan simpan kekal di Perak 47 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *