NEW YORK: Siklon salji terburuk yang membadai negeri di Amerika Utara selepas melanda Kanada hingga sempadan Mexico meragut 56 nyawa setakat ini.

Jabatan Meteorologi memberi amaran salji setebal lebih 23 sentimeter (cm) dijangka melanda beberapa bahagian di Amerika Syarikat, sepanjang hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 28 orang maut di barat New York terutamanya di Buffalo yang paling teruk terjejas selepas ribut salji terburuk membadai Amerika Utara.

Pegawai Kerajaan Negeri melaporkan beberapa penduduk terperangkap di dalam kereta selama lebih dua hari dan menyifatkan ribut salji yang melanda ketika musim sejuk sebagai yang terburuk dalam hidup mereka.

Semasa sambutan Krismas Ahad lalu, sebuah keluarga bersama dua anak mereka berusia antara dua dan enam tahun terpaksa menunggu selama 11 jam di dalam kereta sebelum diselamatkan.

Zila Santiago berkata, dia berjaya memastikan ahli keluarga yang lain sentiasa berada dalam keadaan hangat dengan membiarkan enjin kereta hidup serta bermain dengan anak-anaknya.

“Ikutkan saya sudah putus harapan,” katanya kepada CBS News.

Lebih ramai mangsa dijangka ditemukan apabila salji mula mencair di bahagian kereta yang terperangkap dan akses ke rumah di kawasan terpencil sudah boleh dilalui.

Ribut ‘siklon bom’ yang melanda semasa musim sejuk berlaku akibat tekanan atmosfera sehingga menyebabkan salji dan angin kencang yang mengganggu kawasan jalan di Amerika Syarikat.

Pakar cuaca meramalkan ribut salji itu akan berkurangan dalam beberapa hari akan datang, namun orang ramai dinasihatkan mengelakkan sebarang perjalanan tidak penting.-BBC

The post Siklon salji AS: Jumlah kematian meningkat 56 orang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *