SAUDARA PENGARANG,

PEJAM celik, pejam celik, kita semakin menghampiri Mac apabila pembayar cukai individu akan mula menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengisi Borang Nyata Cukai bagi tahun taksiran 2022.

Dalam kesibukan untuk mengisi Borang Nyata Cukai, mungkin akan berlaku pelepasan cukai yang lupa untuk dituntut kerana resit-resit dan dokumen-dokumen berkaitan hilang atau sudah lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi.

Selain tanggungjawab menyimpan semua dokumen percukaian ini memang ada termaktub dalam undang-undang, kelebihannya juga banyak jika ia disimpan dengan rapi dan pasti akan memberikan manfaat kepada pembayar cukai sendiri.

Ada pihak yang tidak menyimpan resit-resit dan dokumen-dokumen berkaitan kerana menyangka dalam sistem taksir sendiri, LHDN akan menerima setiap pelaporan cukai daripada pembayar cukai secara suci hati.

Sebenarnya suci hati bermakna LHDN tidak meragui setiap pelaporan cukai yang dibuat oleh pembayar cukai sehinggalah agensi itu mendapati ada keraguan munasabah.

Jika itu berlaku, maka pegawai LHDN akan menghubungi pembayar cukai dan meminta individu terbabit untuk mengemukakan bukti perbelanjaan atau pelepasan cukai yang dituntut dalam Borang Nyata Cukai mereka.

Tujuan langkah itu dilakukan adalah untuk proses semakan semula dan mengesahkan kesahihan tuntutan tersebut.

Dalam hal ini, pembayar cukai tidak perlu bimbang kerana selagi semua resit dan dokumen percukaian berjaya dikemukakan dan perbelanjaan serta pelepasan cukai yang dituntut dapat dibuktikan kesahihannya, maka LHDN akan menerimanya tanpa mengenakan taksiran tambahan mahupun penalti.

Oleh itu, mulai hari ini, amalkan tabiat menyimpan semua resit dan dokumen percukaian dengan teratur dan selamat sama ada dalam bentuk salinan cetak atau salinan digital. – UTUSAN

BAHAGIAN PENDIDIKAN CUKAI, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

The post Simpan resit walaupun LHDN suci hati appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *