NIBONG TEBAL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang berselindung di sebalik sebuah ladang ternakan di Valdor, Simpang Ampat di sini, hari ini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, ia susulan satu serbuan yang dilakukan sepasukan anggota KPDN negeri terdiri daripada 11 penguat kuasa kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Beliau berkata, terdahulu, pihaknya menahan seorang pemandu lori warga tempatan berusia 31 tahun yang sedang memindahkan diesel berkenaan dari tangki sebuah lori tanah seberat 12 tan ke dalam tangki plastik di lokasi berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat 18 buah tangki plastik berkapasiti 1,000 liter setiap satu di situ dengan sebahagian besarnya berisi diesel.

“Secara keseluruhannya, pihak KPDN Pulau Pinang berjaya merampas dan menyita dua buah lori iaitu masing-masing sebuah lori tanah seberat 12 dan tiga tan serta diesel sebanyak 10,400 liter.

“Turut dirampas 18 unit tangki plastik, dua unit motor pam selain masing-masing satu unit pam hos dan telefon bimbit berjenama Vivo Y1s dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan RM92,560,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jegan berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menjalankan risikan memandangkan lokasi serbuan itu terletak di kawasan terpencil.

Jelasnya, teknologi dron terpaksa digunakan bagi melancarkan penyiasatan di kawasan ladang ternakan itu yang pemiliknya dipercayai mempunyai pertalian persaudaraan dengan individu yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan diesel bersubsidi terbabit.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Sementara itu, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, individu boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” ujar beliau.

Tambahnya, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak lebih RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Jegan mengingatkan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi tidak berbuat demikian atau berdepan tindakan tegas selain mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan berkaitan. – UTUSAN

The post Sindiket seleweng diesel, sembunyi di ladang ternakan tumpas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *