PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Hulu Langat, Selangor, semalam.

Dalam serbuan di sebuah premis tanpa nombor di Jalan Kuari Sungai Long itu, pasukan penguat kuasa KPDN berjaya menemui 42,000 liter minyak diesel dan turut menahan empat individu termasuk seorang lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga asing.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Azman Adam berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori 1 tan, pam bermotor, hos penyambung, flow meter, telefon bimbit dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan bernilai RM108,900 termasuk minyak diesel, malah siasatan mendapati premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran menjual bahan api itu.

“Minyak diesel bersubsidi adalah barang kawalan berjadual dan ia tertakluk bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, ketika serbuan dilakukan, empat individu berkenaan sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel dalam premis tersebut.

Azman berkata, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan.

Menurutnya, syarikat sama juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram.

“Kami ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu dan syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

“KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini,” katanya. – UTUSAN

The post Sindiket seleweng diesel subsidi tumpas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *