KUALA SELANGOR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mahu memfokuskan isu kelemahan sistem pendidikan negara sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, laporan peringkat antarabangsa dan kerajaan sendiri menunjukkan berlaku kelemahan sistem itu yang jauh ketinggalan berbanding di negara lain.

Kata beliau, isu itu dianggap amat penting dan wajib diberi tumpuan sepenuhnya oleh semua parti politik. 

“Sistem pendidikan negara ketika ini dilihat mempunyai dua darjat iaitu golongan elit yang menentang dasar dan tidak mahu membawa perubahan.

“Mereka menghantar anak mereka ke sekolah swasta, antarabangsa, Perancis dan United Kingdom,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di pekarangan Bilik Gerakan Muda Tanjong Karang di sini, malam tadi.

Jelas Syed Saddiq, keadaan itu perlu segera dirombak bagi mengurangkan jurang pendidikan dan memberi peluang sama rata kepada semua peringkat.

“Pelaksanaan itu perlu bermula di peringkat awal kanak-kanak dan diteruskan ke tahap universiti sebagai keadilan kepada semua golongan dan tiada pelajar tercicir.

Sementara itu, beliau memberitahu, Muda menyasarkan memenangi semua kerusi ditandingi parti itu untuk membawa arus perubahan kepada negara. 

“Kita perlu bekerja keras dan sedaya upaya untuk memenanginya dan mencuba sebaik mungkin. Setakat tiga hari kempen awal ini, sambutan rakyat terhadap Muda amat positif di seluruh negara dengan semangat jentera parti sedia ada,” kata beliau. – UTUSAN

The post Sistem pendidikan negara ada dua darjat – Syed Saddiq appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *