KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kini tidak diwakili mana-mana peguam bela atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella selepas dua lagi peguam belanya memfailkan permohonan menarik diri secara bertulis malam tadi.

Semasa berdiri di kandang tertuduh, Siti Bainun, 31, dalam nada sebak memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi bahawa Sabtu lalu, dia telah dimaklumkan oleh salah seorang peguam belanya, Asiah Abd. Jalil bahawa peguam itu berkemungkinan terpaksa menarik diri daripada terus mengendalikan kes itu.

Mahkamah kemudian mengesahkan telah menerima notis permohonan penarikan diri secara bertulis daripada Asiah dan seorang lagi peguam bela tertuduh, Nurul Hafidzah Hassan pada pukul 9 malam semalam.

Izralizam: Saya hari ini terima pemfailan daripada kedua-dua firma Asiah dan Nurul Hafidzah Hassan menyatakan mereka menarik diri daripada mewakili kamu, jadi secara rekodnya pada hari ini kamu tiada peguam. Kamu tahu tak mereka hendak tarik diri? 

Siti Bainun: Puan Asiah ada beritahu tahu malam tadi, hari Sabtu pun dia ada beritahu boleh saja hendak tarik diri sebab timing jadual (bertindih). Tapi dia tak ada cakap pun hendak tarik diri.  

Izralizam: Kamu bagi tak dia tarik diri? 

Siti Bainun: Mestilah tak tapi tak apalah nanti saya cuba bincang balik. 

Izralizam: Saya pun dapat notis itu malam tadi, saya tengok pukul 9 malam difailkan.

Semalam, tiga peguam pengasas Rumah Bonda itu, Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razi dan Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor tarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.

Ketiga-tiga peguam itu memberikan alasan mempunyai kekangan masa dan jadual yang bertindih menyebabkan mereka terpaksa menarik diri.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas memberitahu bahawa ini merupakan kali kedua Nurul Hafidzah menarik diri daripada kes berkenaan.

“Kami ingin merekodkan ini kali kedua Nurul Hafidzah Hassan menarik diri menjadi peguam bela tertuduh dan kami ingin direkodkan bahawa penarikan diri saat ini (akhir) adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah. Ini juga tidak hormat mahkamah dan tidak memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Izralizam memberitahu Siti Bainun bahawa tarikh perbicaraan peringkat bela diri yang telah ditetapkan pada sepanjang minggu ini dilapangkan bagi memberi ruang dan masa untuk tertuduh mendapatkan bantuan guaman baharu.

Hakim terbabit juga sempat menasihati Siti Bainun agar melantik peguam yang lebih bertanggungjawab untuk mengendalikan kesnya selepas ini.

“Merujuk kepada Aturan 6 Peraturan Majlis Peguam dan Kaedah Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978, peguambela dan peguam cara tidak boleh menerima kes jika tidak dapat hadir, manakala Peraturan 6(b), peguam bela dan peguam cara tidak boleh menarik diri daripada kes setelah diterima, tanpa sebab yang mencukupi dan munasabah serta memberikan notis yang mencukupi kepada pelanggan,” katanya. 

“Sekadar seorang pun jika boleh kendali tiada masalah kalau banyak firma pun berlaku macam ini (tarik diri) tidak beri manfaat kepada kamu juga. Bila seorang tarik diri, satu kumpulan juga tarik diri.

“Kalau dapat seorang pun memadai sekiranya dia dan bertanggungjawab dan boleh mengendalikan kes, baik awak lantik,” kata Izralizam.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Januari ini untuk perbicaraan kes itu.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun yang didakwa mengikut eksyen 31(1) (a) Aka Kanak-Kanak 2001 berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

The post Siti Bainun ‘ditinggalkan’ oleh semua peguam belanya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *