PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza diberi penghormatan menerima Anugerah Komuniti Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA) 2022.

Presiden PRCA, Prof. Mohd Said Bani CM Din berkata, anugerah tersebut dianugerahkan kepada selebriti popular itu yang telah mempromosikan perpaduan merentasi pelbagai demografi dan memperjuang tujuan mulia serta amal.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut adalah sebagai usaha beliau dalam mempromosikan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat melalui sumbangan dermawan dan muzik.

“Tindakan dermawan beliau bertujuan untuk kemasyarakatan termasuk menubuhkan Dana PKP bagi membantu petugas barisan hadapan dan rakyat negara ini yang terjejas ketika pandemik Covid-19.

“Penghormatan tersebut telah diberi kepada beliau semasa Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2022, di Hotel Aloft Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.

Turut dinobatkan, Pengasas MERCY Malaysia, Tan Sri Dr. Jemillah Mahmood sebagai penerima Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia 2022.

Mohd. Said berkata, anugerah tersebut adalah atas usaha teladan beliau dan kepimpinan yang tegas dalam bantuan kemanusiaan.

Tambahnya, Dr. Jemillah telah menjadi daya pemacu sehingga berjaya membuatkan Malaysia diiktiraf di peringkat global dengan berasaskan prinsip tadbir urus baik dan komunikasi inklusif.

MPRA 2022 buat ke-14 kali, meraikan lagi pencapaian tertinggi organisasi, perunding perhubungan awam dan pengamal dalaman dari kedua-dua sektor swasta dan awam, universiti serta individu.

Mohd. Said berkata, MPRA 2022 akan terus mengiktiraf pencapaian cemerlang dan standard tinggi profesional perhubungan awam dalam industri di negara ini.

Tambahnya, anugerah tersebut adalah bagi memenangi hati dan minda masyarakat, pelanggan dan golongan sasar yang lebih besar dan bukan hanya mengenai pembinaan imej, tetapi juga membina kepercayaan, pemahaman dan kesetian pelanggan. – UTUSAN

The post Siti Nurhaliza ikon komuniti MPRA 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *