PELAKON pakej sempurna. Itu pandangan yang boleh kita gambarkan tentang Siti Saleha, pelakon cantik yang masih menjadi buruan penerbit dan stesen televisyen sehingga ke hari ini.

Siti Saleha bukan sahaja memiliki rupa paras menawan, malah mempunyai kebolehan lakonan yang bagus dan meyakinkan. Tidak keterlaluan sekiranya dia kita klasifikasikan sebagai primadona filem dan drama alaf baharu.

Pelakon yang dilahirkan di United Kingdom ini bagaimanapun tidak menjadikan kecantikan semula jadi yang dimilikinya sebagai lesen atau jalan mudah untuk kekal bertahan dalam industri seni.

Kata wanita yang mesra dengan panggilan Sally ini, dia percaya kelangsungannya  di atas pentas lakonan adalah disebabkan bakat, usaha dan keringat yang dicurahkan selama lebih 20 tahun sebagai anak wayang.

“Saya tidak jual rupa paras, sebaliknya peluang untuk masih berada di dalam industri adalah  bergantung kepada pembawakan diri dan disiplin kerja yang saya pelihara sepanjang bergelar pelakon.

“Sebagai sebahagian orang industri seni, kita kena tunjukkan perangai yang disenangi dan sentiasa merendah diri. Saya percaya, itu sahaja yang membuatkan  saya mampu kekal dalam bidang lakonan,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, kata Saleha kesabaran adalah antara sifat yang membuatkan dia masih aktif lebih-lebih lagi dalam dunia lakonan tempatan yang ada turun naiknya.

“Dunia lakonan bukan lapangan yang mudah. Sebab itu saya katakan, tanpa kesabaran yang tinggi, mana mungkin saya boleh bertahan.

“Saya masih mahu berlakon. Itulah cabaran paling besar, iaitu untuk kekal relevan dan terus diberi kepercayaan untuk membawakan apa-apa watak sekalipun.

“Saya tiada pilihan lain, selain menjadi konsisten dengan kerja lakonan saya. Ia tidak mudah seperti yang disangka apatah lagi apabila muka-muka baru datang silih berganti. Jadi, mahu atau tidak, saya masih perlu membuktikan saya layak berada di sini,” tegasnya.

Misteri lelaki berdarah kacukan

Khabar angin bertiup kencang apabila pelakon manis ini kini dikatakan rapat dengan seorang jejaka berdarah kacukan.

Disoal tentang itu, Saleha memaklumkan dia akan berkongsi perihal tersebut di media sosial bila sampai masanya nanti.

“Ya, dia juga berdarah kacukan seperti saya.Kawan-kawan tahu walaupun saya tidak berkongsi gambarnya. Bila tiba masa, saya akan tunjuk mukanya nanti.

“Saya sedia berkawan dengan sesiapa sahaja. Cuma setakat ini tidak ada apa-apa yang serius antara kami,” kongsinya.

Dalam pada itu, Saleha memaklumkan dia bertuah kerana dirinya tidak terlalu diganggu dengan soalan-soalan peribadi daripada wartawan.

Ujarnya, dia berterima kasih kepada yang faham akan kenapa dia merahsiakan tentang kegagalan rumah tangga sebelum ini.

“Sebelum bercerai lagi, saya diburu wartawan yang bertanyakan tentang isu rumah tangga.

“Saya hormati tugas wartawan dan amat berterima kasih atas keprihatinan mereka. 

“Tetapi saya perlu menutup cerita perceraian untuk menjaga nama baik bekas suami dan keluarganya,” jelasnya.

Pilih naskhah berlainan

Pelakon berdarah kacukan Melayu Inggeris ini mengakui cukup selektif terhadap naskhah lakonan yang ditawarkan kepadanya.

Kata Saleha, adakalanya dia terpaksa menolak watak dan jalan cerita yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

“Kalau diperhatikan, memang saya jarang berlakon drama. Bukan tidak ada tawaran, sebaliknya ada yang terpaksa saya tolak.

“Saya mencari kelainan. Sebab itu, sebelum menerima satu-satu tawaran, saya akan semak terlebih dahulu apa wataknya, bagaimana jalan ceritanya dan siapa pengarahnya. Saya tak mahu melakukan perkara yang sama.

“Saya tidak nafikan, stereotaip memang wujud dalam industri drama kita. Skrip, plot, watak dan penceritaan… banyak berulang. Perkara tersebut tidak dapat dielakkan kerana mungkin itu yang penonton mahukan. Cuma apa yang boleh saya lakukan adalah membuat pilihan naskhah yang berlainan,” katanya.

Mengulas tentang kelainan watak, Saleha memaklumkan lakonannya sebagai wanita buta, Wangi menerusi drama Hilang arahan Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi untuk tayang platform Viu adalah antara contoh kelainan yang dimaksudkannya.

“Watak ini mencabar, bukan sahaja dari segi kebolehan lakonan saya malah fizikal. Saya perlu memakai kanta lekap putih untuk menampakkan saya sebagai seorang cacat penglihatan. Memang mencabar kerana saya sukar melihat menerusi kanta lekap tersebut.

“Inilah contoh yang saya maksudkan, kelainan watak yang mencabar seseorang pelakon. Saya kalau boleh mahu jauhkan watak stereotaip yang sering disajikan kepada penonton kita,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, bercakap tentang peranannya sebagai juri tetap program Muzikal Lawak Superstar 3 (MLS3), Siti Saleha menyifatkan penglibatan tersebut sebagai langkah untuk mencuba perkara yang berlainan.

“Tahun ini saya banyak mencuba bidang yang di luar zon selesa saya. Antaranya menjadi juri MLS3.

“Apabila menerima tawaran itu, saya terus terima. Bagi saya ia berlainan dan penonton pun suka. Jadi kenapa perlu saya tolak?

“Tambahan pula saya boleh menjadi diri sendiri dan berikan komen yang jujur. Apabila lawak yang dipersembahkan kelihatan janggal atau menyentuh sensitiviti, saya akan tegur perkara itu dalam komen saya,” jelasnya.

Hapus diskriminasi gender

Kecaman yang diterima Siti Saleha selepas melakonkan babak ‘dalam kereta’ menerusi drama Love In Lockdown menjadi tamparan hebat buat pelakon ini.

Bercakap tentang perkara itu, pelakon berusia 32 tahun ini kesal apabila dirinya menjadi sasaran serangan netizen yang menyifatkan babak tersebut sebagai pornografi ringan.

“Saya tidak faham kenapa babak itu dilabel soft porn sedangkan ia tidak langsung melibatkan sentuhan. 

“Ada sebab mengapa babak itu diadakan. Saya tidak rasa ia wajar diperbesarkan,” katanya.

Dalam babak tersebut, Saleha dan pelakon, Shah Iskandar melakonkan adegan seolah-olah selesai melakukan hubungan intim suami isteri di dalam kereta.

Kata Saleha lagi, perkara itu membuktikan diskriminasi gender dalam industri drama dan filem tanah air masih menebal.

“Kenapa diskriminasi ini masih berlaku? Pelakon perempuan teruk dikecam kalau melakukan adegan  ‘berani’. Walhal, adegan lelaki rogol perempuan tidak mengapa?

“Saya berharap perkara sebegini dapat dihapuskan dan masyarakat akan lebih terbuka.

“Saya tidak rasa perkara sebegini wajar diperbesarkan selagi tidak melanggar norma ketimuran,” katanya.

The post Siti Saleha elak dilabel stereotaip appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *