IPOH: Persatuan Hoki Perak (PHP) berbangga dengan kejayaan pasukan negeri itu mempertahankan gelaran Piala Tun Abdul Razak buat kali ketiga berturut-turut.

Presidennya, Mohd. Sayuti Abdul Samat berkata, kejayaan itu adalah hasil kesungguhan dan kerjasama sepasukan pemain dan barisan kejurulatihan.

“Tanpa kerjasama dan kerja keras setiap anggota pasukan tidak mungkin Perak boleh berjaya.

“Tahniah saya kepada pasukan, mungkin ini rezeki Perak.

“Kebetulan juga saya jadi presiden untuk tahun ketiga,” katanya.

PEMAIN Perak meraikan kejayaan mempertahankan Piala Tun Razak, Ahad lalu.

Perak menumpaskan Pahang 5-1 dalam final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu untuk mempertahankan gelaran .

Menurut bekas penjaga gol negara di era 1977-1986 itu, kehadiran bekas pemain kebangsaan, Shukri Mutalib berjaya mengimbangi kemampuan pasukan.

Mengenai hadiah wang tunai RM30,000 dimenangi, PHP belum memutuskan mengenai pembahagiannya.

“PHP akan mengadakan mesyuarat selepas wang diterima daripada Kofederasi Hoki Malaysia (MHC).

“Kami juga menunggu pemberian hadiah daripada Kerajaan negeri,” tambah Sayuti.

Beliau berkata, PHP juga sedang membuat persiapan bagi menganjurkan kejohanan Piala Sultan Azlan Shah berlangsung 1 hingga 10 November nanti. – UTUSAN ONLINE

The post Skuad hoki lelaki kebanggaan Perak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *