KUALA LUMPUR : Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan aksi positif selepas berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Maldives dalam aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Kemenangan tersebut sekali gus menjadi tonik istimewa buat anak buah Kim Pan Gon yang akan menyertai Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang akan bermula pada 21 Disember ini.

Berdepan Maldives yang kini menghuni tanga ke-154 dunia, skuad Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan sejak wisel permainan dibunyikan.

Gol pertama Harimau Malaya menjelma pada minit ke-24 selepas Darren Lok bijak memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Maldives sekali gus menewaskan Hussain Shareef di pintu gol Maldives.

Pada separuh masa pertama, Harimau Malaya yang diketuai kapten, Safawi Rashid lebih menguasai permainan dengan melakukan beberapa asakan namun, kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Bersambung babak kedua skuad kendalian Pan Gon berpeluang manggandakan kedudukan namun, Darren mensia-sia peluang terhidang hasil hantaran silang Faisal Halim walaupun hanya berdepan dengan Hussain.

Asakan bertali arus Malaysia akhirnya berhasil untuk mendapatkan gol kedua menerusi Faisal selepas dia berjaya melepasi perangkap ofsaid Maldives untuk menyudahkan umpanan Darren pada minit ke-64.

Selepas melihat skuad Harimau Malaya lebih banyak mendominasi permainan, Pan Gon yang dalam proses penilaian pemain untuk melengkapkan skuad 23 pemain ke Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 melakukan beberapa pertukaran.

Hasilnya, pemain naturalisasi kebangsaan, Lee Andrew Tuck berjaya meletakkan Malaysia selesa dihadapan 3-0 pada minit ke-88 selepas dia menyempurnakan umpanan sergio Aguero dari dalam kotak penalti.

Keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus memberikan kemenangan kedua skuad negera dalam tempoh enam hari selepas membelasah Kemboja 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Myanmar untuk beraksi dalam Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Singapura, Myanmar dan Laos.-UTUSAN ONLINE

The post Skuad Pan Gon menang lagi, benam Maldives 3-0 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *