KUALA LANGAT: Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) giat mengadakan Latihan Bersepadu Pengendalian Bot Dan Menyelamat Mangsa bagi menghadapi Monsun Timur Laut tidak lama lagi.

Latihan tersebut diadakan bertempat di Tasik SP3, Bandar Saujana Putra di sini.

Menurut Unit Korporat MPKL, latihan bersepadu tersebut diselaraskan oleh pasukan Pantas MPKL dengan kerjasama Pejabat Daerah/Tanah (PDT) Kuala Langat dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Telok Panglima Garang dan Banting.

“Ia turut disertai oleh anggota Skuad Pantas daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

“Latihan yang diketuai oleh PPgB. Mohd Azril Abdul Kadir iaitu Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Telok Panglima Garang ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan berkaitan pengendalian bot serta cara menyelamat mangsa banjir bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka melanda negara pertengahan November ini.

“Pengisian latihan yang dilaksanakan termasuklah latihan bagi menguji keyakinan petugas di dalam air menghadapi kecemasan, teknik menyelamat menggunakan tali, menguji kemahiran pemanduan bot mengikut sirkit boya latihan dan kaedah menyelamat mangsa semasa bencana,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Unit Korporat MPKL lagi, seramai sembilan orang pegawai dan 43 anggota daripada agensi yang turut serta berjaya menjalani latihan dengan cemerlang dan selamat.

Katanya lagi, Penyelaras Skuad Pantas MPKL, Mazlan Manap yang turut hadir bersama dalam sesi latihan tersebut berharap latihan kemahiran sedemikian dapat dimanfaatkan sebaiknya apabila diperlukan semasa operasi bencana yang sebenar. –UTUSAN

The post Skuad Pantas MPKL giat latihan menghadapi banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *