SEREMBAN: Sokongan pengundi masyarakat India  kepada Barisan Nasional (BN) diyakini akan terus meningkat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hasil pengamatannya, trend peningkatan sokongan tersebut telah bermula sejak beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sehingga ke Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Melaka.

“Jelas sekali terdapat perubahan sikap, terutamanya pengundi kaum India, peningkatan peratusan sokongan yang paling banyak sekali adalah daripada masyarakat India.

” Di Melaka, peningkatan itu sebanyak 28 peratus, ia besar dan di Johor corak itu diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas beliau menghadiri Program Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Permata, Rantau di sini hari ini.

Mohamad yang juga calon BN di Parlimen Rembau menambah, beliau yakin, sokongan daripada masyarakat India itu akan terus meningkat dan akan diterjemah pula semasa PRU15.

“Selepas enam hari, seperti yang saya katakan semalam, berdasarkan body language dan sambutan orang ramai,  amat menggalakkan. Jika pada PRU14, kalau nampak logo BN mereka elakkan diri tetapi kali ini jelas menunjukkan mereka amat mesra dan menunggu kedatangan kami.

“Saya yakin pilihan raya umum kali ini, sokongan kaum India akan menjadi dukungan utama untuk kami, terutama di kerusi-kerusi marginal, di mana kami memerlukan sokongan kaum India, ia sangat dialu-alukan dan aya yakin ia dapat diterjemahkan pada PRU15 kali ini,” katanya.-UTUSAN.

The post Sokongan pengundi masyarakat India kepada BN meningkat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *