KOTA KINABALU: Prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan pelancong China ke Sabah akan ditentukan dalam mesyuarat Kabinet Negeri esok.

Demikian kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai prosedur yang akan dikenakan terhadap pelancong China yang dijangka akan masuk ke negeri ini.

“Esok kita akan adakan mesyuarat Kabinet Negeri untuk membuat keputusan atau SOP untuk terima pelancong dari China.

“Sehingga kita adakan mesyuarat esok baru kita boleh memberi komen seterusnya,” katanya selepas penyampaian bantuan wang ihsan kepada mangsa air pasang besar di Kampung Tanjung Aru Baru hari ini.

Sebelum ini, pihak berkuasa China mengumumkan kebenaran kepada rakyatnya untuk melancong ke luar negara tanpa perlu memberikan butiran perjalanan.

Susulan itu, pelancong China dijangka akan masuk ke Malaysia susulan pembukaan semula sempadan China bermula pada 8 Januari ini.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menganggarkan seramai 1.2 juta pelancong China dijangka masuk ke Malaysia pada tahun ini.

Pada 2018, Sabah merekodkan kemasukan pelancong China yang agak tinggi iaitu seramai 593,623 orang.

Dalam tempoh setahun itu, penerbangan terus dari China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) merekodkan jumlah sebanyak 125 penerbangan seminggu.

Namun, Sabah menolak kemasukan penerbangan dari China pada awal 2020 susulan penularan jangkitan Covid-19 di republik berkenaan. –UTUSAN

The post SOP kemasukan pelancong China ke Sabah diputuskan esok appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *