GENTING HIGHLANDS: Pelumba Colombia, Ivan Ramiro Sosa menakluk perlumbaan yang terkenal dengan julukan peringkat ratu’, iaitu peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Putrajaya ke Genting Highlands hari ini.

Menunggang untuk pasukan Jelajah Dunia, Movistar Team, Sosa, 24, menamatkan perlumbaan sejauh 124.2 kilometer (km) itu dalam masa 3 jam 25 minit 31 saat (s).

Hugh Carthy dari pasukan EF Education-Easypost di tempat kedua (3:25.50s), manakala Einer Augusto Rubio Reyes yang mewakili Movistar ketiga (3:27.27s).

PASUKAN Movistar (depan) mendahului saingan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi 2022 dari Putrajaya ke Genting Highlands hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

“Gembira dengan kemenangan ini, kerja berpasukan yang hebat. Ini adalah kemenangan yang saya cari kerana saya melalui musim yang rumit dan penting bagi saya untuk menamatkan tahun ini dengan baik.

“Kami sangat sentiasa berwaspada dan mengharungi perlumbaan yang baik dengan Hugh Carthy ketika saingan berbaki 1km. Saya sedar saya boleh pergi solo dan itulah cara saya berjaya menang,” kata Sosa.

Kemenangan tersebut membolehkan Sosa merampas Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan.

GELAGAT penonton ketika menyaksikan LTdL 2022 di puncak Genting Highlands. 

Sementara itu, pelumba negara, Nur Aiman ​​Zariff dari pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG) mengekalkan jersi merah selaku Raja Bukit selepas menakluk dua zon pendakian di Tekali dan Look Out Point, Ampang.

Itu membolehkan Nur Aiman, mengumpul 29 mata keseluruhan.

Jersi hijau (Raja Pecut) pula milik pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa, manakala jersi putih pelumba terbaik Asia disambar rakan sepasukannya, Andrey Zeits.

Peringkat keempat esok melibatkan jarak sejauh 137.9km dari Sabak Bernam ke Meru Jaya.

The post Sosa takluk ‘peringkat ratu’ LTdL 2022 di punca Genting Highlands appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *