IPOH: Malaysia menghidupkan sisa peluang untuk ke perlawanan akhir  hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-29 apabila membenam Mesir 4-1di sini sebentar tadi.

Memerlukan kemenangan dalam perlawanan ketiganya, anak-anak buah Arul Selvaraj mempamer semangat juang kental untuk mencatat kemenangan pertama.

Ditambah dengan sokongan padu penyokong di Stadium Azlan Shah yang penuh, Speedy Tigers bermain seperti ia misi hidup atau mati dengan melancar serangan dari wisel permulaan.

Usaha Malaysia berhasil apabila Silverius Shello menyudah peluang dari bola silangan Nik Aiman Rozemi untuk tuan rumah mendahului pada minit ke-10.

Mesir yang dibimbing bekas pemain Pakistan, Tahir Zaman bagaimanapun bangkit pada suku kedua dan berjaya memadam kelebihan Itu melalui Mahmoud Aboutaleb pada minit-26.

Namun selepas itu, pemain-pemain tuan rumah bermain bagai dirasuk dan berjaya menambah tiga gol melalui Muhammad Firhan Ashaari (41), Amirul Azahar (49) dan Shello (51).

Sementara itu, juara bertahan,Korea Selatan mengekalkan rekod tanpa kalahnya selepas empat perlawanan untuk muncul pasukan pertama layak ke final pada 10 November ini.

Bagaimanapun Korea Selatan terpaksa bekerja keras sebelum dapat menjinakkan Pakistan 2-1 melalui dua jaringan dalam tempoh seminit oleh Kim Hyeonhong .

Pakistan mendahului sejak minit ke-4 melalui jaringan Abdul Shahid.

Jepun pula membenam Afrika Selatan 4-2 selepas mendahului 3-1 pada separuh pertama untuk menghidupkan peluang ke perlawanan akhir. – UTUSAN ONLINE

The post Speedy Tigers kembali hidupkan peluang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *