KUALA LUMPUR: Dua hari selepas pembentangan Bajet 2023, spekulasi pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kembali hangat diperkatakan kerana dipercayai bakal berlaku dalam waktu terdekat, iaitu mungkin diumumkan seawal esok.

Bayangan pembubaran Parlimen bakal berlaku dalam masa terdekat dikuatkan lagi dengan tindakan UMNO yang mengadakan  Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato’ Onn, malam esok.

Mesyuarat itu disahkan oleh seorang anggota MT kepada Utusan Malaysia.

“Ya, esok ada mesyuarat MT,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan agenda utama mesyuarat itu walaupun dipercayai berkaitan persiapan menghadapi PRU15.

Difahamkan, satu pengumuman penting akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok, namun sehingga kini khabar itu belum dapat dipastikan kesahihannya.

Malah beberapa media melaporkan bahawa Ismail Sabri didakwa menghadap Yang di-Pertuan Agong petang tadi sebelum Seri Paduka berangkat mengadakan Lawatan Khas ke United Kingdom dari 10 hingga 16 Oktober ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri dilaporkan berlepas ke Sarawak sejurus selepas Majlis Sambutan Maulidul Rasul Peringkat Kebangsaan bagi menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (DP) daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

Jika melihat jadual Ismail Sabri esok, beliau dijangka hadir merasmikan Perhimpunan MIC di Mitec, Jalan Duta di sini pada pukul 2.30 petang.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika ditanya pemberita berhubung spekulasi pembubaran Parlimen, beliau berkata perkara itu tetap masih spekulasi sehingga ada pengumuman rasmi.

“Saya dah kata, kita tunggu dahulu. Saya dah kata untuk pembubaran tunggu dulu pengumuman,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidul Rasul di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Ismail Sabri juga ditanya sama ada Bajet 2023 akan dibahas sebelum Parlimen dibubarkan, beliau hanya menjawab: “Tunggu dahulu.” – UTUSAN

 

The post Spekulasi bubar Parlimen kembali hangat, Mesyuarat Khas MT UMNO esok tanda PRU15 hampir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *