KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin utama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tiba di Seri Pacific Hotel. 

Setakat ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dilihat memasuki ruang lobi hotel itu. 

Menurut Ahmad, 30 Ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 akan bertemu hari ini bagi membincangkan perihal kerjasama BN dengan parti lain. 

Semalam media melaporkan, pimpinan PH dan BN bakal mengadakan pertemuan rahsia di Hotel Seri Pacific, kira-kira jam 10 pagi ini, bagaimanapun perincian pertemuan itu tidak didedahkan.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid menafikan BN berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan terbaharu itu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, tiada sebarang perundingan dilakukan dengan PN setakat ini, yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan.

Beliau turut dilaporkan memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada beliau untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

Terdahulu, semalam Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dilaporkan memaklumkan, gabungan itu bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu PN dan BN.

Abang Johari dilaporkan berkata, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.-UTUSAN

 

The post Spekulasi kerjasama BN-PH bakal terjawab appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *