PETALING JAYA: Sehari selepas mengumumkan kehadiran pemain pertahanan, Fadhli Shas, skuad Tok Gajah hari ini mengesahkan tiga lagi bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memperkuatkan cabaran mereka musim depan.

Azrif Nasrulhaq, Izham Tarmizi Roslan serta Syazwan Andik Ishak menjadi rekrut terbaharu Sri Pahang, dan menjadi sandaran mereka untuk memadam episod buruk musim 2022.

Sri Pahang menutup kempen Liga Super musim lalu di tangga ketujuh, selain disingkirkan oleh Terengganu FC di pusingan awal Piala Malaysia.

Kehadiran empat bintang yang dipinjamkan JDT pastinya memberi kelegaan kepada legenda Singapura dan kelab, Fandi Ahmad yang akan bakal membimbing Tok Gajah musim depan.

“Rekrut seterusnya, Azrif Nasrulhaq yang menyertai Sri Pahang juga sebagai pinjaman selama semusim dari JDT.

“Pemain bek kanan ini mencipta nama bersama PKNS FC dan merupakan salah seorang tonggak utama skuad juara Piala Malaysia Selangor 2015.

“Selepas tujuh musim bersama JDT, Azrif yang turut mempunyai kap bersama skuad B-23 dan senior kebangsaan memilih untuk keluar dari zon selesa dan sudah bersedia menulis skrip baru dalam kariernya,” tulis Sri Pahang.

Bekas peniaga gol kebangsaan, Izham yang turut dipinjam untuk tempoh semusim akan memperkuatkan lagi benteng pasukan.

Izham, 31 tahun, dibawa masuk untuk memperkasa benteng terakhir dan dia sedia bersaing untuk merebut posisi nombor satu seterusnya mengisi kekosongan ditinggalkan Mamadou Samassa.

“Ketenangan dan ketangkasan bekas pemain Harimau Muda yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2011 ini di gawang, dilihat bakal menjadi azimat berguna buat Sri Pahang,” tulis Tok Gajah.

Sementara itu, Syazwan Andik melengkapkan proses menguatkan benteng pasukan dan turut diperoleh secara secara pinjaman.

“Produk Harimau Muda berusia 26 tahun ini telah bersama JDT II sejak 2019 dan beraksi secara pinjaman bersama Melaka United pada musim 2022.

Syazwan melihat Sri Pahang sebagai destinasi terbaik untuk mengembalikan prestasinya ke tahap terbaik dan kehadirannya diyakini memberi sengat tambahan di posisi pertahanan kiri,” kata kelab itu. – UTUSAN ONLINE

The post Sri Pahang ‘pinjam’ aura JDT appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *