PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul meminta persoalan berhubung status empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dirujuk kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Katanya, beliau telah membalas notis yang dikemukakan Ahli Parlimen Beluran itu pada hari ini.

“Apa-apa pun tanya beliau, saya tidak akan jawab kepada media,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Bersatu Sabah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memastikan bekas empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah bertanding pada PRU15 di bawah logo GRS mengosongkan kerusi mereka bagi memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Empat wakil rakyat terlibat adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Matbali Musah (Sipitang).

Pada 10 Disember 2022, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah telah keluar daripada parti.

Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan.

Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU15 sebagai anggota Bersatu. – UTUSAN

The post Status 4 wakil rakyat GRS: ‘Tanya Ronald Kiandee’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *