DUNGUN: “Doakan saya dan isteri serta kejayaan skuad negara di Piala AFF.”

Itulah harapan pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid yang juga suami kepada pelakon dan pempengaruh, Syifa Melvin.

Bercakap ketika majlis persandingan mereka di sini, hari ini, Safawi, 25, mengakui semangatnya kian membara untuk menyertai pasukan negara setelah bergelar suami kepada Syifa, 28.

Malah tanggung awab selaku antara ketua pasukan negara yang diumumkan Kim Pan Gon juga menjadi tonik terbaik buat pemain kelahiran Dungun itu memburu kejuaraan Piala AFF.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan rakan-rakan yang hadir di majlis saya hari ini serta di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Buat rakan-rakan di kem latihan pasukan kebangsaan, kami akan memberikan segalanya untuk misi di Piala AFF dan saya akan melapor diri bersama skuad negara, 5 Disember ini.

“Kehadiran isteri di sisi sudah tentu memberi semangat baharu untuk saya membantu Malaysia dan harap semua doakan kebahagian kami serta doakan saya di Piala AFF nanti,” katanya.

Safawi yang juga bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) sah bergelar suami kepada Syifa atau nama sebenarnya, Nur Syifa Athirah Amirul Melvin dalam majlis pernikahan, 28 November lalu.

Majlis persandingan pihak lelaki berlangsung meriah ddengan kehadiran ahli keluarga termasuk Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, sahabat handai dan rakan artis antaranya Uyaina Arshad.

Tiga hari lalu, Safawi diumumkan sebagai antara empat kapten Harimau Malaya selain Brendan Gan, Dion Cools dan Faisal Abdul Halim bagi menghadapi Piala AFF bermula 21 Disember ini.

Anak-anak buah Pan Gon akan membuka aksi Kumpulan B bertemu Myanmar disusuli menentang Laos (24 Disember), Vietnam (27 Disember) dan Singapura pada 3 Januari 2024.

Harimau Malaya sebelum itu akan menghadapi perlawanan pemanas badan antarabangsa Tier 1 dengan Kemboja pada 9 Disember ini dan Maldives, lima hari kemudian.-UTUSAN

The post Status suami ‘bakar’ semangat Safawi bantu skuad kebangsaan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *