SEREMBAN: Seorang pegawai bank mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melacurkan  isterinya pada akhir bulan lalu. 

Lelaki berusia 35 tahun itu  membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdagangkan isterinya berusia 35 tahun iaitu bagi tujuan eksploitasi seks dan kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Kuala Pilah pada 30 Oktober lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan memaklumkan mangsa kini berada di bawah perintah perlindungan mengikut Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memberitahu, dia akan membuat rayuan apabila hukuman dijatuhkan ke atasnya nanti.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan identiti mangsa tidak dibenarkan didedahkan kepada umum.

Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan hidup atas wang hasil daripada pensundalan isterinya di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil pensundalan isterinya itu.

Kesalahan tersebut dilakukan di lokasi dan tarikh yang sama.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh 15 tahun dan dengan sebatan serta boleh didenda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November depan sebagai tarikh bagi kedua-dua pertuduhan.- UTUSAN

The post Suami didakwa lacurkan isteri untuk peroleh pendapatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *