KULAI: Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman sebuah rumah, tahun lalu.

Tertuduh, Yaw Chern Fong, 26, dan isterinya, Phang Siew Wei, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pasangan itu didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman rumah seorang wanita yang menyebabkan kerugian kira-kira RM200 kira-kira pukul 7.30 pagi di Jalan Sentosa 10, Taman Sentosa, di sini pada 30 Disember lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong memohon supaya kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin kerana berkemungkinan akan mengganggu mangsa, namun menawarkan jumlah jaminan yang tinggi, iaitu RM20,000 setiap seorang sekiranya mereka diikat jamin.

Peguambela, P. Thomas Jayaraj yang mewakili pasangan berkenaan memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan, iaitu empat orang anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali. Mahkamah menetapkan 21 Februari ini sebagai sebutan semula kes tersebut.

Pada 11 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow melaporkan tiga individu termasuk seorang wanita yang ditahan selepas disyaki terlibat kegiatan mengambil upah sebanyak RM1,300 daripada ceti haram atau ah long untuk melakukan khianat dengan api serta menyimbah cat di rumah peminjam wang di sekitar daerah ini. – UTUSAN

The post Suami isteri didakwa ambil upah simbah cat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *