BENTONG: Sepasang suami isteri berusia 26 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 16, Jalan Bentong ke Raub di sini.

Dalam kejadian pukul 5 pagi hari ini, pasangan tersebut maut di tempat kejadian setelah motosikal dinaiki terbabas lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan polis mendapati mangsa bersama rakannya yang lain menunggang dua buah motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis perkahwinan di Lurah Bilut di sini. 

“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal pasangan itu cuba memotong motosikal di hadapannya lalu terbabas ke laluan bertentangan. 

“Motosikal pasangan itu kemudiannya bertembung di bahagian sisi dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 49 tahun dari Johor memandu ke arah Raub,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Zaiham, pasangan suami isteri terbabit disahkan maut oleh petugas perubatan di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami kecederaan. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk membantu siasatan,” ujarnya. –UTUSAN

The post Suami isteri maut motosikal bertembung pacuan 4 roda  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *