PENDANG: Peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bukan disebabkan faktor tidak puas hati atau arahan parti.

Suraya berkata, beliau melepaskan jawatan itu bagi memberi tumpuan terhadap tanggungjawabnya kepada parti apatah lagi berperanan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kedah.

Beliau juga mendedahkan sudah lama mahu berbuat demikian, tetapi tidak mendapat persetujuan beberapa pihak termasuk restu daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Tidak ada sebarang perkara yang tak puas hati cuma saya selalu berpendapat pentadbiran kerajaan tidak boleh dicampur aduk dengan kerja parti dan masanya telah sampai untuk saya tumpu kepada parti.

“Tak adil guna wang rakyat untuk kerja parti, selalunya saya ambil cuti untuk buat kerja parti. Ada Exco lain yang bertanding Parlimen dan tak mahu lepaskan jawatan, ia boleh dibuat tapi secara prinsipnya agak kekok dan boleh dimanipulasi menggunakan jentera (kerajaan),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pendang di sini, hari ini.

Khamis lalu, Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga dan Pengairan Saliran Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Suraya turut menafikan keputusannya itu ada kaitan dengan penetapan Pas untuk kekal tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasai mereka termasuk Kedah.

Bagaimanapun, beliau pada masa sama berharap DUN Kedah dibubarkan kerana ia memudahkan rakyat memilih kerajaan negeri yang selari dengan Persekutuan.

“Saya doakan DUN dibubarkan untuk rakyat Kedah memilih. Ini kerajaan yang kita gabungkan parti-parti untuk mentadbir sementara, kalau Kelantan dan Terengganu tak bubar saya faham tapi Kedah negeri gabungan (PN-BN),” katanya.

Sementara itu, Suraya menjelaskan tidak ada perancangan untuk beliau menarik sokongan kepada kerajaan negeri dipimpin Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor walaupun sudah melepaskan jawatan Exco.

Ketika ditanya sama ada langkah itu sebagai persediaan menjadi calon bagi Parlimen Pendang, Suraya hanya meminta semua pihak menunggu keputusan pucuk pimpinan parti.

Namun, beliau menyatakan kesediaan sekiranya diberi mandat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi itu yang dijangka menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan empat penjuru. – UTUSAN

The post Sudah lama mahu letak jawatan Exco – Suraya Yaakob appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *