PETALING JAYA: Hanya menang tipis tipis 1-0 ke atas Sabah FC di Likas, Selasa lalu membuatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) berwaspada apabila menerima kunjungan Sang Badak pada separuh akhir kedua Piala Malaysia malam ini.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, Harimau Selatan hanya mengundang padah jika menganggap pertembungan dengan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee amat mudah.

Tegasnya, bekalan 1-0 tidak selesa kerana Sabah juga memiliki ramai pemain berpengalaman yang telah membawa perbezaan kepada pasukan.

“Kami akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memburu kemenangan, namun waspada de­ngan ancaman Sabah kerana menang 1-0 belum selamat.

“Permainan harus ditingkatkan, pemain perlu memperagakan aksi lebih kemas supaya setiap gerakan dan perancangan yang dibuat membuahkan hasil.

“Kami juga menjangkakan Sabah akan cuba ambil kesempatan jika kami leka,” katanya.

Mengenai ketiadaan Leandro Velazquez yang digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning dan Feroz Baharuddin yang dilayangkan kad merah pada separuh akhir pertama itu, pengendali kelahiran Argentina itu tidak gusar.

Katanya, JDT memiliki skuad yang besar dan boleh memilih pengganti Velazquez dan Feroz untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.

“Bukan masalah tidak dapat menggunakan Feroz dan Leandro kerana kami memiliki skuad besar dan semua pemain bersedia diturunkan,” kata Bidoglio

Posisi Velazquez di bahagian tengah mungkin diambil alih Muhammad Nazmi Faiz Mansor atau Safiq Rahim, manakala mereka memiliki Jordi Amat untuk bergandingan dengan Shahrul Saad di benteng.

The post Sukar di Likas, tidak mudah di Johor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *