SEREMBAN: Institusi pengajian yang bernaung di bawah Persatuan Institusi Tahfiz dan Pondok (Pinta) di negeri ini dijangka akan melaksanakan sukatan pelaajran baharu secara menyeluruh dan seragam bermula tahun hadapan.

Pengerusi Pinta Negeri Sembilan, Mohd. Ali Abdul Kadir berkata, pelaksanaan sukatan pelajaran baharu itu selaras dengan dasar pendidikan institusi tahfiz dan pondok yang dirangka Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Silibus yang ada sekarang biasanya kami serahkan kepada pusat pengajian, terdapat manhaj masing-masing tetapi umumnya dalam perhatian kami dan ia lebih kurang sama.

“Kami sudah merangka satu silibus menyeluruh yang dipanggil dasar pendidikan sekolah swasta di Negeri Sembilan khususnya bagi institusi tahfiz dan pondok,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Pinta Negeri Sembilan Kali Pertama di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, silibus berkenaan sudah lengkap dan sepatutnya dibentangkan bulan November lalu, namun ada beberapa perkara masih dalam penelitian JHEAINS.

“Kemungkinan tahun hadapan silibus baharu ini akan dilaksanakan malah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu tujuh wakil daripada Pinta bersama pihak JHEAINS dan wakil universiti menghadiri bengkel untuk persediaan sukatan berkenaan,” katanya.

Jelas Mohd. Ali, penyelarasan sukatan baharu itu dilihat dapat memperkasakan institusi pengajian tahfiz dan pondok supaya tidak ketinggalan dari sudut pendidikan.

“Ini terutama melibatkan tahfiz dan pondok yang agak lemah, dapat kami bantu secara menyeluruh dan seragam seterusnya pelajar dapat manfaat pendidikan bersama.

“Kami juga menyasarkan 500 orang pelajar berjaya menamatkan pengajian dan berjaya memperoleh sijil khatam Al-Quran, khatam kitab dan syahadah al-Quran dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ali berkata, Majlis Istiadat Konvokesyen Pinta yang julung kali diadakan itu menyaksikan seramai 325 graduan berumur 15 tahun ke atas berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh sijil berkaitan tahfiz al-Quran.

Selain itu, Anugerah Tokoh Tahfiz Negeri Sembilan turut telah dianugerahkan kepada Pengetua Maahad Tahfiz Fathur Rahman. Gadong, Kota, Rembau, Abdullah Zamsari Mohammad.

Anugerah Tokoh Pondok Negeri Sembilan pula diberikan kepada Pengerusi Pondok Tampin, Sheikh Abd Raof  Nurin Al-Bahanji.-UTUSAN.

The post Sukatan pelajaran baharu institusi tahfiz, pondok di Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *