IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belum memberi perkenan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang ketetapan mengenai permohonan untuk pembubaran DUN Perak akan diumumkan selepas baginda tuanku berkenan untuk membuat keputusan.

Menurutnya, perkara itu dititahkan oleh baginda semasa beliau menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini hari ini bagi menyembah menyembah warkah permohonan pembubaran DUN Perak untuk pertimbangan baginda.

“Saya telah diterima menghadap oleh tuanku pukul 2.30 petang tadi dan pada sesi menghadap itu saya telah menyembah maklum pengumuman Perdana Menteri  mengenai pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

“Saya juga menyembah maklum mengenai syor oleh Perdana Menteri supaya ketua-ketua kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi pembubaran DUN untuk membolehkan PRU15 diadakan secara serentak.

“Sehubungan itu, pada sesi menghadap, saya telah menyembah warkah permohonan pembubaran DUN Perak Ke-14, untuk pertimbangan tuanku selaras dengan Fasal 2, Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Perak. 

“Pada sesi menghadap tersebut, tuanku telah bertitah bahawa baginda mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya. 

“Oleh yang demikian sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN Perak akan diumumkan selepas tuanku berkenan membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Saarani menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini bagi memohon perkenan baginda untuk pembubaran DUN Perak. – UTUSAN

 

The post Sultan Nazrin belum perkenan DUN Perak bubar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *