MELAKA: Suspek yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan bunuh seorang nenek berusia 91 tahun yang tinggal berseorangan di rumahnya di Kampung Pulai Darat, Merlimau dekat sini direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 27 Januari dikeluarkan Majistret Zuraidah Abu Bakar terhadap pemuda berusia 20 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek yang berpakaian lokap berwarna jingga tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah, Ayer Keroh di sini pada pukul 9.35 pagi dengan diiringi anggota polis.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang nenek ditemui maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun.

Tragedi yang menimpa warga emas, Misah Md. Amin disedari oleh jirannya yang juga seorang lelaki warga Indonesia menyewa berhampiran lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintenden Mohd. Fadzli Othman berkata, polis menerima laporan daripada orang awam kira-kira pukul 3.54 pagi.

Tambah Mohd. Fadzli, hasil risikan bersama maklumat orang awam, seorang suspek berusia 20 tahun berjaya diberkas di kawasan sama pukul 8 pagi semalam.

Jelasnya, suspek merupakan penganggur yang mempunyai tiga rekod jenayah termasuk kes samun di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

The post Suspek bunuh Nek Misah direman tujuh hari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *