MALANG: Seorang suspek kes pembunuhan yang dikehendaki polis ditemukan mati akibat menggantung diri di kawasan kebun tidak jauh dari kediamannya di Desa Lebakharjo di Malang di Jawa Timur kelmarin.

Ketua Kampung Lebakharjo, Sumarno berkata, lelaki itu yang dikenali sebagai Sukarni ditemui mati oleh seorang pelajar yang kebetulan melalui kawasan itu untuk ke sekolah.

“Kira-kira 70 meter di hadapan rumah Sukarni ada sebuah sekolah rendah. Di belakang sekolah itulah lokasi suspek menggantung diri. Melihat kejadian ini, salah seorang pelajar melaporkannya kepada pengetua sekolah dan pengetua sekolah memanggil saya. 

“Sukarni menggantung diri menggunakan tali ampaian penduduk. Dianggarkan dia menggantung diri pada awal pagi kerana mayatnya masih belum reput.

Sebelum ditemui menggantung diri, Sukarni diburu polis kerana disyaki membunuh seorang wanita berusia 33 tahun dari kampung yang sama.

Mangsa yang dikatakan menjalinkan hubungan dengan suspek dilaporkan ditetak di hadapan anak-anak dan suaminya di sebuah rumah di Dusun Licin pada 19 Januari lalu.

“Akibat jeritan anaknya, penduduk tempatan datang ke rumah mangsa dan salah seorang penduduk melihat Sukarni berlari ke arah hutan di belakang rumah mangsa. 

“Sejak itu, polis terus mencari keberadaan Sukarni di sekeliling hutan itu,” jelas Sumarno.

Sukarni disyaki bersembunyi di tengah-tengah hutan di kampung berkenaan dan sudah beberapa kali hampir ditangkap tetapi suspek berjaya melarikan diri. -AGENSI

The post Suspek kes bunuh ditemukan mati gantung diri appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *