ISKANDAR PUTERI: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan wujud beberapa syarat aku janji yang memaksa semua calon Parlimen parti berkenaan untuk mengangkat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, penyandang kerusi Parlimen Pontian itu memberitahu, kewujudan surat aku janji yang ada hanyalah bertujuan memastikan kesetiaan semua calon terhadap parti.

Beliau turut menafikan kewujudan syarat aku janji yang mahu kerajaan Pusat menggugurkan sebarang kes mahkamah melibatkan kepimpinan tertinggi parti.

“Tak betul tak betul, tidak ada langsung perkataan seperti itu, itu fitnah, tiada tiada. Apa yang ada hendaklah taat setia kepada parti, tiada sebut perkara-perkara itu,” tegasnya menjawab soalan tentang penularan satu surat aku janji yang memaksa calon-calon UMNO untuk mengangkat Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Antara syarat lain ialah menyokong pengguguran kes mahkamah membabitkan kepimpinan tertinggi parti dan memberikan jawatan Kabinet utama kepada calon UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Walau bagaimanapun, Ahmad mengakui wujud surat aku janji yang meminta semua calon parti berkenaan memberikan kesetiaan tidak berbelah-bahagi terhadap parti sekiranya diberi mandat.

“Saya nak sebutkan bahawa semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor sebelum ini ada menandatangani surat aku janji dan untuk PRU ini juga mereka (calon) tanda tangan.

“Ia bukan jadi suatu masalah kerana bertujuan kukuhkan kedudukan parti, sebab itu antaranya kita dapat melihat tiada lagi mana-mana calon menang yang melompat parti. Perkara itu (tandatangan surat aku janji) itu penting dan kita telah lakukan,” jelasnya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera BN Johor bagi PRU15 yang diadakan di Pusat Sukan EduCity, di sini malam ini. – UTUSAN

 

The post Syarat aku janji itu palsu – Ahmad appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *