JOHOR BAHRU: Syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., pengurus stor dan akauntannya dilepas dan dibebas daripada 12 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM12.9 juta antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

Hakim, Fatimah Zahari membuat keputusan tersebut selepas ketiga-tiga tertuduh, iaitu syarikat yang diwakili pengarahnya, Yong Chee Keong, 42; pengurus stor, Chong Kim Kuang, 50, dan akauntan, Ng Yee Xin, 39, membayar kompaun keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.

Difahamkan, mereka membuat pembayaran kompaun tersebut semalam.

Walau bagaimanapun, empat pertuduhan melibatkan seorang lagi pengarah syarikat, iaitu Tan Siew Huak, 44, masih kekal kerana statusnya tidak diketahui.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat dan kesemua tertuduh didakwa menerima wang tunai, masing-masing berjumlah RM446,517.19, RM6.75 juta, RM2.78 juta dan RM3.37 juta membabitkan nilai keseluruhan RM13.28 juta yang juga hasil aktiviti haram menerusi akaun bank milik syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, manakala kesemua tertuduh Siew Huak diwakili peguam bela, Zamri Idrus.

Sementara itu, mahkamah turut memaklumkan, keputusan berkaitan 21 pertuduhan terhadap syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., dua pengarah iaitu Chee Keong dan Siew Huak serta pengurusnya, Kim Kuang akan diketahui pada 22 Februari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah mengguna, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia, selain menggunakan logo halal palsu serta menggunakan logo halal tanpa kelulusan daripada badan pensijilan halal Australia.

Kesalahan itu dilakukan di premis syarikat berkenaan di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai antara 1 hingga 3 Disember 2020.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria.

Pada 2 Disember 2020, media melaporkan syarikat pembekal daging sejuk beku itu aktif menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina membungkus semula daging terbabit menggunakan logo halal palsu sebelum dijual ke pasaran seluruh Malaysia. – UTUSAN

The post Syarikat, pengurus, akauntan LY Frozen dilepas, dibebas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *