SAUDARA PENGARANG,

PELBAGAI isu dihadapi syarikat pengendali jemaah umrah sejak akhir tahun lalu. Bermula dengan musim bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 telah berlaku kenaikan mendadak kadar sewaan hotel dan harga tiket penerbangan.

Apabila berlaku kenaikan tinggi kadar sewaan hotel, jemaah yang dijanjikan hotel tertentu terpaksa ditempatkan di hotel lain yang lebih murah atau jemaah dikenakan bayaran tambahan yang tinggi.

Langkah kerajaan Arab Saudi membenarkan peminat bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 masuk ke Arab Saudi dengan faedah tertentu memburukkan keadaan. Ada hotel yang membatalkan tempahan jemaah umrah walaupun telah lama dibuat.

Syarikat pengendali umrah juga menghadapi masalah kekurangan penerbangan hingga jemaah diberi pilihan sama ada menunda penerbangan, menaikkan harga pakej atau pengembalian wang bayaran.

Keadaan ini memeningkan kepala jemaah yang sudah membuat permohonan untuk bercuti dengan majikan. Rasa tidak puas hati jemaah ditularkan dan berlaku salah-menyalah.

Syarikat pengendali umrah yang tidak bersedia sepenuhnya dengan situasi sedemikian menjadi defensif. Ada yang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas penyebar berita yang tidak 100 peratus benar.

Sebagai contoh, ada jemaah dijanjikan hotel berjarak 50 meter dengan masjid, tiba-tiba mendapat hotel lebih satu kilometer (km), malah ada yang dapat hotel sejauh 12 km.

Hal itu memang menyulitkan terutama apabila membawa keluarga yang menggunakan kerusi roda dan berikutan jadual perjalanan bas tidak tetap.

Alternatif

Pada saya, apa yang berlaku itu menjadi pengajaran sangat berguna kepada semua pihak. Syarikat pengendali umrah kena bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Penjelasan perlu diberikan dengan cepat kepada jemaah. Jemaah perlu diberi kefahaman bahawa banyak masalah muncul dengan tiba-tiba sehingga sukar dielakkan.

Syarikat pengendali umrah perlu ada pelan alternatif yang lebih terancang bagi menghadapi kemungkinan masalah baharu.

Jika dilihat pada Disember lalu, bertembung dengan jadual Piala Dunia Qatar 2022, cuti sekolah di Malaysia dan juga di Arab Saudi, maka penjelasan sebaik-baiknya amat diperlukan. Isu kenaikan harga tiket penerbangan juga tidak dapat dielakkan.

Semasa Covid-19 melanda dunia, banyak kapal terbang tersadai dan apabila penerbangan antarabangsa dibuka semula, syarikat penerbangan perlu menyelenggara pesawat, mengambil dan melatih semula pekerja.

Kesemua itu memakan kos yang tinggi. Kepada para jemaah yang terkesan dengan segala permasalahan tersebut, mereka perlu tabah dan menuntut hak melalui saluran yang betul.

Hati-hati membuat tuduhan, silap-silap kena jawab di mahkamah. Jemaah perlu membuat penelitian yang mendalam tentang pakej ditawarkan. Buat sedikit penyelidikan kerana iklan biasanya tidak cukup lengkap.

Adalah lebih baik pergi di luar musim cuti kerana harga pakej umrah lebih rendah dan jemaah tidaklah terlalu padat.

Jika hendak buat umrah secara sendiri, kena fikirkan halangan yang mungkin timbul seperti masalah kesihatan, insurans dan keselamatan diri.  Pastikan pergi dengan mereka yang mahir dalam selok-belok proses mengerjakan umrah.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pula perlu memantau segala permasalahan yang timbul itu dan mengawal selia syarikat pengendali umrah, agar pelbagai masalah yang terjadi tidak berulang lagi. – UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor

The post Syarikat umrah perlu berfikiran jauh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *